Disyaki curi RM4, pelajar 11 tahun mati dibelasah rakan



KUANTAN – Hanya kerana disyaki mengambil duit sebanyak RM4, seorang kanak-kanak yang menghuni sebuah rumah anak yatim dan miskin dipercayai dibelasah rakannya sehingga mati di sebuah kompleks rumah anak yatim dan miskin di sini semalam.

Difahamkan dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu mangsa Muhammad Hafdan Qurbani Azhar,11, yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan Sg. Soi di sini telah disepak, dicekik dan dihempas ke lantai sehingga tidak sedarkan diri di surau kompleks rumah anak yatim dan miskin berkenaan.


Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati mangsa telah dibawa tiga pelajar lain yang merupakan penghuni asrama berkenaan dalam keadaan tidak sedarkan diri ke rumah penyelia asrama.

“Penyelia asrama yang mengesyaki mangsa mengalami sawan membawa mangsa ke hospital untuk mendapatkan rawatan sebelum mangsa disahkan meninggal dunia dan pengadu membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

“Polis kemudian telah menahan reman seorang pelajar berumur 16 tahun selama tujuh hari untuk siasatan lanjut dan siasatan giat dilakukan,” katanya di sini hari ini.

Menurut Wan Mohd Zahari mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan untuk bedah siasat dan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau memberitahu, berdasarkan siasatan awal mendapati lokasi kejadian merupakan bangunan surau di kompleks berkenaan dan terdapat saksi dalam kejadian berkenaan.


Katanya, berdasarkan siasatan awal motif kejadian adalah kerana tidak berpuas hati dan ada unsur dendam suspek terhadap mangsa,”ujarnya.

Ujarnya, siasatan awal juga mendapati mangsa disepak, dicekik dan dihempas ke lantai sehingga tidak sedarkan diri.

Sebagai rekod, Kompleks asrama berkenaan yang dibawah seliaan kerajaan negeri mempunyai kira-kira 36 orang penghuni yang terdiri daripada anak yatim dan anak-anak asnaf. – Kosmo

 

Join our Telegram Channel
Telegram