Gagal jawab surat, Najib teruskan saman fitnah Sam Ketot



PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri Najib Razak mengarahkan peguamnya memfailkan saman fitnah terhadap Ketua Penerangan PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin kerana mendakwa beliau mencuri RM2.6 bilion dana 1MDB untuk menampung gaya hidupnya.

Pada 23 Feb lepas, selain Najib, Shamsul yang juga bekas Timbalan Menteri Industri Utama, dalam hantaran di Facebooknya turut mendakwa bekas eksekutif Goldman Sachs, Tim Leissner dan ahli perniagaan diburu pihak berkuasa, Low Taek Jho menggunakan dana awam itu.

“Ahli Parlimen PKR Hang Tuah Jaya merangkap Ketua Penerangan PKR telah gagal menjawab surat tuntutan peguam saya.


“Dengan ini, saya telah arahkan peguam saya untuk failkan saman fitnah terhadap Shamsul di mahkamah,” kata Najib di Facebook, hari ini.

Dalam kenyataan itu, Najib sekali lagi menegaskan beberapa perkara yang tidak akan diakui oleh mana-mana pemimpin dari pembangkang walaupun ia merupakan bukti mahkamah disebabkan mahu meneruskan propaganda penipuan menyatakan kononnya Najib mencuri RM2.6 bilion untuk membeli cincin dan beg tangan.

Najib berkata, pemimpin pembangkang tidak akan mengaku bahawa beliau telah didakwa bawah AMLA dan bukan mencuri mahupun merompak dan dana tersebut telah dipulangkan kepada penghantar.

“Bahawa saya didakwa dengan sembilan pertuduhan menerima dana yang dikatakan RM2.6 bilion itu dan juga didakwa dengan tujuh pertuduhan memulangkan dana tersebut kepada penghantar empat bulan selepas ia dimasukkan ke dalam akaun atas nama saya.


“Bahawa Kementerian kewangan Arab Saudi pernah memindah sekurang-kurangnya RM642 juta kepada akaun atas nama saya yang kemudiannya digunakan untuk kerja CSR termasuk bantuan banjir bagi 4 tahun berturut dan bukan untuk kegunaan peribadi

“Jadi, bagaimana pula saya rompak RM2.6b untuk simpan dan ‘tampung gaya hidup’ saya?” katanya.

Najib berdepan 25 tuduhan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram berhubung dakwaan dana 1MDB lebih RM2 bilion yang dimasukkan ke akaun banknya antara Feb 2011 dan Dis 2014. – FMT




Join our Telegram Channel
Telegram