Kerajaan DAP tak bayar elaun penarik beca, bila mengadu dipotong pula



GEORGE TOWN – “Ibarat jatuh ditimpa tangga. Itulah nasib kira-kira 80 penarik beca di negeri ini susulan kurang pendapatan disebabkan pandemik Covid-19 selain kerajaan DAP gagal membayar elaun yang dijanjikan,” kata Mohd Ibrahim Mohd, 69.

Jelasnya, mereka gagal memperoleh elaun berjumlah RM200 setiap bulan daripada kerjaaan negeri sejak Januari lalu.

Sehingga kini tiada sebarang perbincangan atau maklumat berhubung kegagalan pembayaran itu dimaklumkan kepada penarik beca yang layak menerimanya.

“Saya selaku wakil penarik beca bersama beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) cuba untuk berjumpa dengan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Yeoh Soon Hin bagi mendapatkan maklum balas namun usaha kami sejak Februari lalu gagal.


“Susulan itu, beberapa gabungan NGO membuat keputusan mahu menyerahkan memorandum kepada Ketua Menteri, Chow Kon Yeow bagi mendapatkan penyelesaian masalah membelenggu penarik beca.

“Bagaimanapun, semalam kami dikejutkan dengan penerimaan elaun tersebut yang gagal dibuat sejak beberapa bulan namun hanya RM300 diberikan dengan alasan pemotongan RM100 setiap bulan dilakukan ekoran penarik beca menyerahkan memorandum,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini hari ini.

Terdahulu beberapa gabungan NGO hadir untuk menyerahkan memorandum berhubung masalah penarik beca negeri itu kepada Kon Yeow.

Pengasas Urban Life Volunteers, Sarah Abdullah menyerahkan memorandum itu kepada Pegawai Penerangan Pejabat Ketua Menteri, Zahar Zainul.

Zahar Zainul (tengah) menerima memorandum daripada Sarah di Komtar hari ini.


Menurut Sarah, dia membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut semalam susulan menerima ugutan daripada pembantu khas Soon Hin berhubung perhimpunan bagi menyerahkan memorandum kepada Kon Yeow.

“Wanita itu meminta saya membatalkan perhimpunan hari ini namun saya memaklumkan ia merupakan keputusan beberapa NGO dan saya tidak boleh bertindak sesuka hati sebelum dia marah dan mengugut untuk menarik semula dua unit flat yang dijanjikan kepada penarik beca yang tiada rumah.

“Daripada ini kita boleh lihat betapa zalim kerajaan negeri Pulau Pinang apabila ada pihak mahu menyuarakan masalah mereka terus ditindas dan diugut.

“Kami harap ketua menteri (Kon Yeow) mengambil tindakan sewajarnya dan memberikan elaun RM200 kepada penarik beca yang berdaftar kerana bantuan itu dapat meringgankan bebanan mereka tidak mempunyai pendapatan tetap,” kata Sarah. – MG

 

Join our Telegram Channel
Telegram