MELAKA: Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hari ini sebulat suara meluluskan Rang Undang-undang Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2022 bagi menurunkan kelayakan umur dari 21 kepada 18 tahun untuk seseorang individu layak menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Pindaan RUU itu dicadangkan berikutan Parlimen telah meminda Seksyen 5 Jadual ke-8 Perlembagaan Persekutuan, berkuat kuasa 11 Sept 2019, yang menurunkan had umur layak bertanding daripada 21 ke 18 tahun bagi calon Ahli Dewan Rakyat.
Pindaan RUU itu dibentangkan Ketua Menteri, Sulaiman Md Ali dan dibahaskan beberapa ADUN sebelum diluluskan selepas bacaan kali ketiga.
Terdahulu, semasa sesi perbahasan, Khaidhirah Abu Zahar (BN-Rim) berkata, pindaan had umur berkenaan adalah satu penghargaan kepada penglibatan dan peranan orang muda dalam politik negara.
“BN (Barisan Nasional) sentiasa konsisten menyokong dalam isu penurunan had umur mengundi ini. Mereka sudah cukup dewasa dan matang untuk membuat keputusan dan seiring zaman kini, mereka sudah cukup matang malah mampu terlibat dalam proses membuat dasar,” katanya.
Sementara itu, Kerk Chee Yee (DAP-Ayer Keroh) berkata, walaupun ada pihak tidak bersetuju dengan pindaan tersebut berikutan persepsi kematangan orang muda yang masih belum mencapai tahap sepatutnya, namun ia membantu menyuburkan demokrasi negara.
“Itu (umur) bukan soalnya tetapi ini lebih kepada soal keadilan. Adakah kita bersedia melibatkan anak muda dalam proses pilihan raya?
“Jadi ini langkah pertama dalam memberi ruang kepada mereka dalam politik malah pilihan raya. Ini juga sebagai satu proses untuk mereka faham mengenai demokrasi,” katanya.
Join our Telegram Channel