Mengapa tiada tindakan lanjut bagi kes Muhyiddin, SPRM digesa perjelas



PETALING JAYA: Kumpulan antirasuah menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan mengapa siasatannya terhadap bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman diklasifikasikan sebagai “Tiada Tindakan Lanjut” (NFA).

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) Muhammad Mohan berkata, butiran lanjut perlu didedahkan untuk meyakinkan orang ramai bahawa tiada salah laku dilakukan.

“Orang ramai tidak akan terima keputusan NFA begitu sahaja, jadi SPRM mesti sediakan lebih banyak maklumat untuk meyakinkan orang ramai,” katanya kepada FMT.


Menegaskan bahawa orang ramai mengharapkan lebih ketelusan daripada kerajaan, Mohan berkata, mendedahkan lebih banyak butiran mengenai siasatan itu akan membantu SPRM menguruskan persepsi orang ramai dan menunjukkan bahawa ia telah melakukan segala-galanya dalam kuasanya untuk menyiasat kes itu.

“Isunya di sini adalah persepsi orang ramai. Sebaik sahaja SPRM mengesahkan bahawa siasatan ke atas dakwaan itu sedang dijalankan, orang ramai akan berharapkan hasil,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) Cynthia Gabriel berkata, ketelusan dalam perkara sebegitu menjadi penting memandangkan timbulnya defisit kepercayaan awam susulan kontroversi perdagangan saham membabitkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.

“Bagi siasatan ke atas dakwaan rasuah terhadap Muhyiddin, jelas perlunya penjelasan yang lebih baik,” katanya.

Pada Rabu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, SPRM telah melengkapkan siasatan terhadap Muhyiddin dan didapati “tiada elemen kesalahan” bawah Akta SPRM.


Dalam rakaman audio yang tidak dapat disahkan dan tular pada 2020, Presiden Bersatu itu didakwa memberitahu Majlis Pimpinan Tertinggi parti bahawa beliau merancang menarik Ahli Parlimen Umno menyertai parti itu dengan menawarkan jawatan dalam Jemaah Menteri dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Dalam pada itu, katanya lagi, siasatan terhadap Tajuddin “mendapati tiada keterangan melibatkan salah guna kuasa dan rasuah yang berlaku”, dengan kes itu diklasifikasikan sebagai “NFA”.

Tajuddin ditahan SPRM pada 28 Mei 2021 selepas beliau dipecat sebagai pengerusi Prasarana, bagi membantu siasatan berhubung pelantikan menantunya di syarikat itu. Beliau kemudiannya dibebaskan dengan ikat jamin. – FMT

 

Join our Telegram Channel
Telegram