Sudah 10 tahun guna bekalan air lori tangki



SUNGAI PETANI: Lebih 1,500 penduduk Kampung Segantang Garam dan Kampung Pengkalan Bujang dekat Merbok bergantung bekalan air yang dibekalkan Syarikat Air Darul Aman (SADA) sejak lebih 10 tahun lalu ekoran sering terputus bekalan.

Penduduk Kampung Segantang Garam, Ismail Hashim, 51, berkata, mereka terpaksa berjimat, malah mencatu menggunakan air bagi mengelak terputus bekalan.

“Bagi keluarga besar seperti saya yang mempunyai tujuh ahli keluarga, kami terpaksa mencatu air berikutan air hanya dihantar dua hari sekali ke kawasan ini.

“Bekalan yang dihantar hanya cukup untuk keguna­an membasuh pinggan mangkuk dan mandi sahaja manakala membasuh pakaian kami terpaksa menghantar ke kedai do­bi,” katanya semasa ditemui di sini semalam.


Jirannya, Rohimi Mohd Noor, 47, pula berkata, mereka semata-mata terpaksa bergantung kepada air yang dihantar SADA kerana tidak mempunyai alternatif lain berikutan kawasan didiami berpaya dan berdekatan laut.

“Kami tidak boleh mengorek telaga atau menggunakan air telaga tiub kerana air di sini masam dan berbau serta tidak sesuai digunakan.

“Jika kehabisan air yang di­bekalkan SADA, kami terpaksa berulang alik ke Kampung Bendang Dalam atau Tupah sejauh kira-kira tiga kilometer untuk mendapatkan bekalan,” ujar­nya.

Penduduk Kampung Pengkalan Bujang, Mahfuz Morat, 19, berkata, keluarganya membe­lanjakan RM200 untuk membeli air mineral untuk tujuan minuman dan membasuh pakaian di kedai dobi.

“Sebagai nelayan yang berpendapatan rendah, masalah ini membebankan kehidupan kami sekeluarga kerana terpak­sa menghabiskan duit untuk perkara tersebut.


“Pada masa sama, kami juga terpaksa menjelaskan bil air bulanan sebanyak RM6 setiap bulan walaupun tidak memperoleh bekalan air SADA seperti di kawasan lain,” katanya.

Seorang penduduk, Azilah Azidan, 41, berkata, sepatutnya pihak SADA mengatasi segera masalah tersebut yang telah lama berlarutan di kawasan ini.

“Masalah gangguan ini tidak sepatutnya berlaku kerana kawasan kampung ini bukannya terletak jauh dari loji air di Tupah.

“Alasan paip air yang telah lama dan bersaiz kecil serta bekalan tidak mampu menampung pertambahan penduduk tidak patut diberikan lagi kerana masalah tersebut telah lama berlarutan,” katanya. – Utusan

 

Join our Telegram Channel
Telegram