GEORGE TOWN – Seorang jurujual kedai emas cedera pada anggota badan selepas disamun abang kandungnya dalam satu kejadian di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu berhampiran sebuah stesen minyak di sini, hari ini.
Kejadian berlaku pada jam 9.30 pagi ketika wanita berusia 21 tahun itu itu sedang menunggang motosikal sebelum tiba-tiba kenderaanya ditendang suspek.
MalaysiaGazette difahamkan, akibat kejadian tersebut mangsa terjatuh sebelum suspek berusia 31 tahun itu merampas telefon bimbit mangsa dan mengarah dia mengikutnya ke stesen minyak berhampiran.
Sebaik tiba di stesen minyak itu, mangsa pergi ke tandas sebelum meminta bantuan pekerja di sana untuk menghubungi keluarganya namun sebaik keluar mereka mendapati suspek telah melarikan diri.
Difahamkan mangsa kerugian hampir RM5,000.
Bertindak atas maklumat dan laporan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Khas D9, Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut berjaya mengesan dan memberkas suspek pada jam 5.11 petang di Desa Permai Indah di sini.
Berdasarkan siasatan polis mendapati, suspek telah didakwa di mahkamah atas dakwaan mencabul mangsa pada Februari lalu dan kini sering mengganggu adiknya agar menarik semula kes tersebut.
Suspek merupakan penagih dadah dan permohonan reman terhadapnya akan dibuat esok manakala mangsa pula telah mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel