Afdlin Shauki tawar bertanding PKR Setiawangsa



PETALING JAYA: Pengarah dan pelakon, Datuk Afdlin Shauki Aksan menawarkan diri untuk bertanding sebagai calon Ketua Cabang Setiawangsa pada Pemilihan PKR 2022.

Dalam satu kenyataan, Afdlin Shauki menyifatkan Parlimen Setiawangsa perlu menjalani satu rejuvenasi bagi mengekalkan kemenangan yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Justeru, beliau berkata, Cabang Setiawangsa perlu diperkemas struktur dan gerak kerja dalam membela suara rakyat dan memantapkan tadbir urus bagi memastikan kebajikan warga Parlimen itu sentiasa dijaga.


“PRU-14 menjadi manifestasi perubahan apabila rakyat berani mengubah tampuk kepimpinan negara kepada sebuah pemerintahan baharu yang tidak lagi dimonopoli oleh satu kaum utama saja sebaliknya diwarnai dengan pelbagai latar belakang berbeza dari semua peringkat umur, agama dan bangsa.

“Parlimen Setiawangsa juga tidak terkecuali apabila arus perubahan memberi nafas baharu kepada PKR untuk memimpin dan membawa perubahan yang lebih baik dari pimpinan parti politik sebelumnya.

“Bagi memastikan kemenangan PKR di Parlimen Setiawangsa dikekalkan pada pilihan raya akan datang, Cabang Setiawangsa perlu menjalani satu proses rejuvenasi agar perjuangan Reformasi terus mekar dan diterima warga Setiawangsa.

“PKR Cabang Setiawangsa perlu diperkemas struktur dan gerak kerja dalam membela suara rakyat dan memantapkan tadbir urus dengan menyatukan kekuatan ahli lama dan baharu agar terus mengakar umbi demi memastikan kebajikan warga Setiawangsa terus dijaga,” katanya.

Tambah Afdlin Shauki, beliau menawarkan diri sebagai calon bersama Mohamad Faidzal Ibrahim bagi calon Timbalan Ketua Cabang, Muhammad Ibrahim Hilmy Noor Mohamed bagi calon Naib Ketua Cabang bersama 15 calon Ahli Jawatankuasa Cabang yang datang dari pelbagai latar belakang agama, kaum, pendidikan dan peringkat umur.


“Saya menganggap keterlibatan pasukan kami adalah sebuah usaha melakukan kebaikan dan membawa pembaharuan tanpa sebarang prejudis kepada mana-mana pihak,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, fokus utama gerak kerja pasukannya sekiranya dipilih adalah membawa budaya politik khidmat bakti agar gerak kerja cabang sentiasa mengutamakan keperluan rakyat Setiawangsa.

“Seterusnya memperkukuhkan kembali jentera pilihan raya PKR Setiawangsa bagi menghadapi PRU-15 dan tidak kurang penting sudah tentu memastikan kebajikan ahli parti sentiasa dijaga.

“Setiawangsa bukan sekadar tempat persinggahan politik bagi kami. Di sini rumah saya, rumah kita, bersama kita menggembleng tenaga demi Setiawangsa yang lebih makmur,” katanya. – Utusan



Join our Telegram Channel
Telegram