KUALA LUMPUR – Walaupun Tun Dr Mahathir Mohamad pernah berkata, beliau malu untuk meratib nama Datuk Seri Najib Razak namun beliau nampaknya tidak betah melupakan nama seteru politiknya.
Manakan tidak, dalam meratib jangan sebut nama Najib, bekas Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH) itu tetap menyebut nama Najib sebanyak tiga kali dalam kenyataan terbaharunya, hari ini.
“Jangan sebut nama Najib kerap. Dia akan jadi lebih popular. Lupakan sahaja nama Najib. Lupakan dia curi duit. Lupakan dia dibicara dan didapati salah. Dia dihukum 12 tahun penjara dan denda dua ratus dua puluh milion ringgit.
“Jangan sebut. Kalau sebut nama Najib dia akan lebih disukai ramai. Orang yang popular dalam negara demokratik akan jadi pemimpin, jadi Perdana Menteri pun,” katanya dengan penuh sinikal.
Februari lalu, Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) itu mengakui dia malu untuk “meratib” nama seteru politiknya Najib Razak yang terpalit tuduhan penyelewengan dana negara.
Bagaimanapun, kata Mahathir dia berbuat demikian bagi memastikan Najib tidak kembali berkuasa.
“Sebenarnya, saya amat malu meratib nama Najib, dia memalukan negara, bangsa dan agama. Malangnya dia sendiri tidak malu malahan berpura-pura seolah-olah dia teraniaya termasuk oleh saya.
“Dia perlu disekat kerana jika dia kembali berkuasa, ini bermakna negara akan dikuasai dan ditadbir oleh seorang kleptorat dan kluster mahkamah untuk disamun dan dirompak,” katanya sebagaimana dilaporan media dalam surat kedua buat pengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 20 Februari lalu.
Justeru itu, Mahahtir menegaskan agar semua pihak tidak menyebut nama Najib lagi pada bila-bila masa.
“Jangan sebut nama dia. Di mahkamah jangan sebut nama dia. Maka keadilan akan berlaku. Kena hukum. Tetapi tak payah jalan hukum. Diam sahaja. Jangan sebut nama dia.
“Kalau tak sebut nama orang yang salah, nak sebut nama siapa. Sebutlah nama siapa pun. Tak mengapa. Itu keadilan di Malaysia.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel