Kerajaan akan ikut keputusan MKT Umno tolak lanjut MoU dengan pembangkang, kata PM



PUTRAJAYA: Kerajaan buat masa ini akan mengikut keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno semalam yang memutuskan memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan pusat dan Pakatan Harapan (PH) tidak akan dilanjutkan selepas ia berakhir Julai ini.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun beliau tidak menolak kemungkinan sebarang perubahan boleh berlaku selepas berakhir bulan Julai nanti.


“Semalam, keputusan dah dibuat, iaitu sampai 31 Julai 2022. Kita akan tunggu sehingga 31 Julai dan setakat semalam MKT mengatakan tak perlu sambung MoU ini.

“Itu keputusan setakat ini, apapun tunggu lepas 31 Julai. Itu keputusan MKT dah dibuat semalam. Kerajaan akan ikut keputusan MKT,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan pelancaran dan perasmian Coop Komuniti Mart di Koperasi Pudina Putrajaya Berhad di Dewan Seri Pudina, di sini.

Dalam pada itu, Ismail berkata sekiranya terdapat perubahan selepas 31 Julai nanti, beliau akan membawa perkara itu ke dalam mesyuarat MKT Umno.

“Bagaimanapun, mungkin bulan Julai ini macam-macam boleh berlaku. Apa-apa yang memerlukan perubahan, saya (akan) bawa (ke) dalam MKT (Umno).

“Saya sebagai Naib Presiden Umno tentu tertakluk kepada keputusan MKT.


“Kalau tak ada apa-apa, keputusan itu dilaksanakan. Kalau ada perubahan apa-apa, MKT akan berbincang semula,” katanya.

Ketika ditanya sama ada, pemimpin pembangkang ada berjumpa dengan beliau untuk berbincang mengenai keputusan tidak lanjut MoU itu, beliau berkata tempohnya masih lama sehingga tiba pada tarikh 31 Julai.

“Lama lagi. Kita beraya dulu,” jawab beliau ringkas. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram