Polis wanita dicekup simpan mercun, ketum dalam rumah



KOTA BHARU – Seorang anggota polis wanita berpangkat Lans Koperal ditahan bersama teman lelaki dan tiga rakan mereka selepas dipercayai menyimpan pelbagai jenis mercun, bunga api dan air ketum di rumahnya di Jalan Pasir Puteh, Kubang Kerian di sini awal pagi tadi.

Serbuan kira-kira pukul 3.25 pagi itu dijalankan oleh anggota polis dan penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) selepas menerima aduan terdapat lelaki yang sering berkunjung ke situ.


Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohd. Suhaimi Ali berkata, ketika serbuan, suspek yang juga seorang janda berada di dalam rumah itu bersama kekasihnya, seorang lelaki dan dua orang wanita yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun.

Menurutnya, pemeriksaan di dalam rumah itu kemudiannya telah membawa kepada penemuan 23 kotak bunga api, mercun jenis Happy Boom (20 paket), mercun jenis Magic Shoot (20 paket), crackers ball (lima kotak), mercun bola (18 bungkus) dan pelbagai jenis mercun (50 kotak) bernilai RM5,000.


“Siasatan lanjut di dalan peti sejuk rumah itu turut menjumpai satu bungkusan plastik putih yang dipercayai mengandungi air ketum.

“Siasatan mendapati, mercun dan bunga api itu dibeli di Rantau Panjang sebelum disimpan sementara di rumah anggota polis itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini. - Kosmo


ARTIKEL BERKAITAN:



Join our Telegram Channel
Telegram