Qatar benar kunjungan komuniti LGBT ke Piala Dunia 2022



DOHA – Qatar memaklumkan akan mengalu-alukan kunjungan peminat sukan bola sepak dalam kalangan komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) pada Piala Dunia 2022 di Doha, lapor akhbar New York Daily News semalam. 

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Pengarah Logistik di Kementerian Dalam Negeri Qatar, Mejar Jeneral Abdulaziz Abdullah Al Ansari menerusi temu bual bersama agensi The Associated Press.

Beliau bagaimanapun berkata, bendera pelangi yang mewakili komuniti LGBT mungkin akan dirampas bagi tujuan keselamatan. 


“Jika dia (peminat) mengibarkan  bendera pelangi dan saya merampasnya, ia bukan kerana saya benar-benar mahu mengambilnya untuk menghina tetapi untuk melindunginya.

“Kerana jika bukan saya, orang lain di sekelilingnya akan menyerangnya. Saya tidak boleh mengawal kelakuan semua orang. Tidak perlu mengibarkan  bendera LGBT semasa di sana,’’ kata beliau.

Abdulaziz yang juga merupakan pengarah Jabatan Kerjasama Antarabangsa dan Pengerusi Jawatankuasa Antikeganasan Kebangsaan berkata, sesiapa yang mahu mempromosikan orientasi seksual atau identiti jantina seperti LGBT, mereka harus berbuat demikian di tempat lain.

“Anda mahu tampilkan pandangan mengenai situasi LGBT, tunjukkannya di kelompok masyarakat di mana ia akan diterima.


“Kami sedar bahawa individu itu mendapatkan tiket, datang untuk menonton perlawanan dan bukannya berdemonstrasi atau berpolitik,’’ tambah beliau.

Komen tersebut disiarkan hanya beberapa hari selepas Presiden FIFA, Gianni Infantino berkata bahawa semua orang akan dialu-alukan di Qatar termasuk golongan LGBT.

Abdulaziz berkata, beliau dia tidak meminta peminat LGBT untuk tidak datang ke Qatar tetapi menambah bahawa undang-undang di negara konservatif itu tidak akan berubah selama 28 hari Piala Dunia berlangsung. – Agensi

 

Join our Telegram Channel
Telegram