Lelaki tetak 4 ahli keluarga hilang pertimbangan kerana sering diasak ibu mertua berkaitan wang RM4,000



KOTA TINGGI: Seorang pemandu lori dipenjara 15 tahun dan dikenakan lapan sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menyebabkan kecederaan parah terhadap empat ahli keluarganya menggunakan parang panjang.

Hakim Norsiah Ujang menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Hadi Hashim, 38, selepas dia mengaku bersalah atas empat pertuduhan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dengan dua sebatan bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan semua hukuman berjalan serentak bermula dari tarikh ditangkap iaitu 20 April lalu.

Bagi keempat-empat pertuduhan, Mohd Hadi didakwa mendatangkan cedera parah terhadap ibu mentuanya, Puasa Yasik, 57, isterinya Norwahida Rosli, 33; adik ipar perempuan, Norwadiha Rosli, 32; dan adik ipar lelaki, Mohamad Amirul Iskandar Kamaruzaman, 16.


Dia dituduh melakukan semua perbuatan itu di sebuah rumah di Jalan Siakap 5, Kampung Sedili Kecil, di sini kira-kira 7.45 malam, pada 14 April lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 326 (A) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau boleh dikenakan sebat dan boleh dijatuhi hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum atas sabitan mengikut Seksyen 326A Kanun Keseksaan.

Mengikut fakta kes, dalam kejadian kira-kira 7.45 malam itu, tertuduh mencederakan ibu mentuanya terlebih dahulu dengan menekup muka mangsa lalu bertindak mengambil parang panjang berukuran 79cm dan menetak kepala mangsa.

Tertuduh kemudian menyerang adik ipar perempuan yang cuba menolong ibunya, seterusnya menyerang adik ipar lelakinya yang ketika itu cuba menghubungi pihak berkuasa serta isterinya yang bersembunyi di dalam bilik sebelum bertindak melarikan diri dengan menaiki kereta.

Terdahulu peguam Nurshuhadah Mahzan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan yang mewakili Hadi memaklumkan kejadian tersebut dipercayai berpunca daripada tertuduh yang hilang pertimbangan kerana sering diasak ibu mentua berkaitan dengan wang berjumlah RM4,000.


“Akibat daripada keletihan kerana baru pulang bekerja, tertuduh telah bertindak sedemikian yang merupakan perkara disesalinya sebelum menyerah diri secara sukarela di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai pada 20 April,” katanya yang memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dan berjalan serentak ke atas anak guamnya.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Irsyad Mardi memohon hukuman setimpal ke atas tertuduh kerana perbuatannya itu melibatkan nyawa, selain faktor kepentingan awam melebihi kepentingan peribadi tertuduh.

“Tertuduh mendatangkan kecederaan parah terhadap keempat-mangsa mangsa yang semuanya ahli keluarga tertuduh dengan sebilah parang panjang berukuran 79cm dan hal ini boleh mendatangkan kematian,” katanya. – FMT


ARTIKEL BERKAITAN:



Join our Telegram Channel
Telegram