Detik cemas Lufya cedera diserang cubaan culik anak



PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi, Lufya dipukul di kepala dan badan dengan kayu ketika menghalang anak perempuannya berusia lima tahun diculik seorang lelaki di Kota Damansara.

Lufya atau nama sebenarnya, Lutfyah Sheikh Omar, berkata beliau berjaya melepaskan diri selepas sempat menendang muka dan menumbuk alat sulit penyerang dalam kejadian di sebuah taman permainan dua hari lalu.


Beliau mendakwa, seorang lelaki berbadan besar memukulnya dengan teruk ketika cuba menyelamatkan anaknya, dalam kejadian kira-kira 4 petang itu.

“Selama ini, saya melihat babak atau aksi ganas dalam kaca televisyen dan pawagam. Namun, saya menempuhnya sendiri, dua hari lalu. Lelaki ini memukul saya dengan kayu pada bahagian kepala dan badan menyebabkan saya alami kecederaan agak teruk.

“Syukur, saya dan anak selamat. Ketika kejadian, anak sempat menjerit meminta tolong, namun, tiada sesiapa di tempat kejadian dapat membantu. Nasib baik, saya pernah belajar bertinju, jadi boleh mempertahankan diri apabila berlaku situasi tak terduga ini,” katanya menurut laporan Berita Harian.


Lufya ketika ini sedang mendapatkan rawatan dan akan membuat laporan polis.

Katanya, sebagai manusia beliau perlu sentiasa peka dan berjaga-jaga dalam apa juga situasi.

“Selalunya golongan wanita dianggap lemah, jadi ada ilmu mempertahankan diri. Dengan izin Tuhan, saya dapat melawan, sekali gus, menyelamatkan anak.

“Manusia zaman sekarang sanggup buat perkara keji dan semakin hilang perikemanusiaan,” katanya. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram