Hadi setuju #GST jika barangan asasi dikecualikan cukai



MARANG - Kerajaan perlu memberi pertimbangan sewajarnya jika ingin mengembalikan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) dengan tidak mengenakan cukai tersebut terhadap barangan keperluan asasi rakyat.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, langkah itu perlu bagi mengambil kira rakyat yang kini terbeban dengan kos sara hidup tinggi.


"Pelaksanaan semula GST perlu dilihat kepada kewajaran dengan mengambil kira bebanan kepada rakyat dan tanggungjawab kerajaan.

"Sebab itulah ia perlu ditimbangkan dengan cara yang adil dan saksama," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan kuliah duha mingguan di Masjid Rusila di sini, pada Jumaat.

Tambah Abdul Hadi, kekangan ekonomi dunia yang berlaku bukan sahaja menekan rakyat bahkan turut memberi kesan kepada kerajaan.


"Kita lihat kepada perkembangan di mana kekangan ekonomi dunia bukan sahaja menekan rakyat bahkan menekan kerajaan. Sebab itulah perlu ada pertimbangan bagi kedua belah pihak.

"Apa yang penting kecualikan barangan asasi yang menjadi keperluan rakyat daripada GST kerana kita tidak mahu ia menjadi beban kepada rakyat.

"Sebaliknya, tidak menjadi masalah jika cukai itu dikenakan kepada golongan berpendapatan tinggi atau mereka yang terlibat dalam industri," katanya. – Sinar



Join our Telegram Channel
Telegram