MP diminta kemas kini maklumat, tanda Parlimen bakal dibubar?



Pentadbiran Parlimen telah mengarahkan para ahli parlimen untuk mengemas kini maklumat mereka, langkah yang dilihat sesetengah pihak sebagai petanda PRU akan diadakan tak lama lagi.

Menerusi emel yang dihantar Bahagian Hal Ehwal Ahli Parlimen pada 3 Jun lalu, mereka diarahkan mengisi tiga borang berkaitan pembayaran faedah penamatan.

Beberapa ahli parlimen yang dihubungi Malaysiakini mengesahkan menerim emel itu. Mereka perlu mengembalikan borang tersebut selewat-lewatnya 10 Jun ini.


Beberapa ahli parlimen namun percaya ia tidak semestinya menandakan PRU sudah dekat dan sebelum ini kemas kini memang dibuat ketika dua tahun terakhir penggal Parlimen.

Penggal sekarang akan tamat pada 16 Julai 2023.

'Bukan prosedur biasa'

Namun seorang sumber dari Warisan memberitahu Malaysiakini bahawa emel tersebut bukan sebahagian daripada prosedur biasa.

Dia berkata pada 2018, surat sama dihantar kepada ahli parlimen kira-kira tiga minggu sebelum Parlimen dibubarkan.

"Ia hanya dihantar ketika (pentadbir) diarahkan berbuat demikian," katanya lagi.

Surat tersebut di saat kepimpinan Umno menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri membubarkan Parlimen secepat mungkin.


Langkah itu dilihat atas pertimbangan populariti BN pada masa ini yang diyakini mereka pada tahap tinggi, susulan kemenangan besar dalam PRN Melaka dan Johor.

Namun, beberapa menteri daripada Umno seperti Khairy Jamaluddin dan Annuar Musa berpandangan parti itu belum bersedia sepenuhnya untuk menghadapi PRU.

Pendirian Ismail pula dilihat tidak jelas dalam perkara ini.

Dalam satu wawancara sebelum ini, dia mempersoalkan kesesuaian mengadakan PRU ketika inflasi pada masa ini. Namun dalam konvensyen BN sehari kemudian, dia berkata tidak akan menangguhkannya apabila BN sudah sedia sepenuhnya. – Mkini

 

Join our Telegram Channel
Telegram