Pesara maut tersepit antara 2 ‘steamroll’



KUALA TERENGGANU: Seorang pesara maut selepas terhimpit jentera penurap jalan dalam kejadian di hadapan Masjid Kubang Ikan Chendering, di sini, pada Selasa.

Dalam insiden kira-kira jam 10.45 pagi itu, Wan Endok Wan Salleh, 59, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.


Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, siasatan awal mendapati terdapat tiga jentera penurap jalan diparkir di kawasan itu.

"Mangsa yang datang dari rumahnya berdekatan kawasan itu, kemudian datang ke kawasan berkenaan. Dia berada di antara jentera kedua dan ketiga untuk bersembang dengan seorang pekerja.

"Tiba-tiba pemandu jentera pertama telah menghidupkan jenteranya untuk memulakan kerja dan mengundurkan jentera lalu terlanggar jentera kedua yang berada di belakang.


"Akibat hentakan daripada jentera pertama menyebabkan jentera kedua telah tertolak ke belakang dan melanggar jentera ketiga. Mangsa yang berada di antara jentera kedua dan ketiga telah terhimpit dan mengalami kecederaan di bahagian dada," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Beliau berkata mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Awani








Join our Telegram Channel
Telegram