Thailand bebaskan semua banduan kes ganja



Bangkok: Lebih 3,000 banduan di seluruh Thailand yang sebelum ini disabitkan bersalah atas kesalahan berkaitan ganja sudah dibebaskan pada Khamis minggu lalu.

Ia susulan langkah negara itu yang menghapuskan ganja daripada senarai narkotiknya sekali gus menjadi negara Asia pertama berbuat demikian.


The Nation melaporkan Kementerian Kehakiman sudah mengarahkan Jabatan Koreksional membebaskan 4,075 banduan yang disabitkan bersalah dalam kes membabitkan ganja.

Tetapi hanya 3,071 boleh dibebaskan pada Khamis minggu lalu, kerana 1,004 banduan masih perlu menjalani hukuman penjara untuk jenayah lain.

Saudara-mara banduan yang dibebaskan itu pada Khamis lalu, pergi ke penjara untuk menyambut mereka.

Sebagai contoh, saudara-mara pergi ke Penjara Saraburi untuk menyambut pembebasan empat banduan lelaki dan seorang banduan wanita.


Terdapat lapan banduan menjalani hukuman kes ganja di penjara itu tetapi tiga banduan lelaki lain tidak dapat dibebaskan kerana mereka masih perlu menjalani hukuman untuk sabitan kes lain juga.

Kementerian Kehakiman juga mengumumkan bahawa 110 juta Thai Baht (kira-kira RM13.8 juta) wang milik banduan akan dikembalikan kepada pemiliknya, bersama 16,030 kilogram ganja yang dirampas.

Kementerian itu berkata, semua 7,488 kes ganja di mahkamah juga akan digugurkan bersama-sama dengan semua kes sementara menunggu siasatan oleh polis. – Hmetro



Join our Telegram Channel
Telegram