Kulim: Baru berkenalan tak sampai 24 jam, seorang lelaki berstatus suami orang
dicekup berkhalwat dengan seorang wanita di sebuah hotel di daerah ini, malam
tadi.
Pasangan itu dipercayai berkenalan melalui aplikasi media sosial sebelum
dicekup khalwat oleh sepasukan anggota penguat kuasa Pejabat Agama Daerah
Kulim (PADK) ketika berdua-duaan dalam sebuah bilik hotel berkenaan pada 10.15
malam.
Ketika serbuan dilakukan, lelaki itu ditemukan bersembunyi di bawah katil
untuk mengelak dicekup pihak berkuasa, namun gagal.
Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Shariffudin Mat Saad berkata,
lelaki berusia 24 tahun itu dipercayai datang dari Perak kerana mempunyai
urusan kerja sebelum bertemu dengan wanita berkenaan.
Beliau berkata, pemeriksaan mendapati, pasangan itu gagal menunjukkan sebarang
dokumen membuktikan mereka mempunyai hubungan pasangan suami isteri atau
mahram.
"Mereka kemudian dibawa ke balai polis untuk dibuat laporan tangkapan sebelum
diambil keterangan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 25(a)(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah
Kedah 2014.
"Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara
atau kedua-duanya sekali," katanya ketika dihubungi hari ini.
Anwar Shariffudin berkata, pihaknya akan melakukan pemantauan terutama di
kawasan hotel yang disyaki menjadi tumpuan pasangan yang tiada ikatan suami
isteri atau mahram untuk menyewa di daerah itu untuk membanteras kegiatan
maksiat. – Kosmo
Join our Telegram Channel