Maut ketika rawatan tradisional, pengamal perubatan ditahan



PETALING JAYA: Seorang wanita dilaporkan maut ketika menerima rawatan tradisional di Pandan Perdana, Ampang Jaya semalam.

Mangsa dipercayai mengalami masalah histeria sejak lapan tahun lalu dan pernah mendapatkan rawatan daripada pakar psikiatri di hospital baru-baru ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Mohamad Farouk Eshak, polis menerima panggilan daripada seorang wanita pada 6.35 petang memaklumkan anak perempuannya yang berusia 41 tahun meninggal dunia.

Katanya, mangsa dipercayai ke rumah suspek untuk mendapatkan rawatan tradisional sejak seminggu lalu.


“Mangsa ditemui dalam keadaan berbaring tidak sedarkan diri di ruang tamu dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir di tempat kejadian.

“Siasatan di tempat kejadian masih berjalan dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Susulan kejadian itu, Farouk berkata, polis menahan pengamal perubatan tradisional wanita berusia 51 tahun itu pada 7.20 malam semalam.

“Suspek akan direman hari ini di Mahkamah Ampang Jaya dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, iaitu bunuh,” katanya. – FMT

 

Join our Telegram Channel
Telegram