Waris kesultanan Sulu rampas aset Petronas nilai AS$2 bilion (RM8.66 bilion)



Waris kesultanan Sulu yang dikatakan menuntut AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) daripada Malaysia - merampas dua anak syarikat gergasi minyak Malaysia Petronas yang diperbadankan di Luxembourg.

Menurut laporan Financial Times yang berpangkalan di London, peguam pihak yang menuntut merampas Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus, yang dilaporkan bernilai AS$2 bilion.

Peguam berkata bailif di Luxembourg merampas syarikat induk bagi pihak pelanggan mereka pada Isnin.

Keturunan sultan Sulu terakhir, Sultan Jamalul Kiram II, menuntut jumlah amat besar sebagai pampasan daripada Malaysia berikutan proses timbang tara.


Proses timbang tara itu dimulakan sebagai tindak balas ke atas Malaysia yang memotong pembayaran pajakan tahunan sebanyak RM5,300 kepada kesultanan Sulu pada 2013.

Malaysia tidak mengambil bahagian dalam proses timbang tara di Perancis, dengan alasan bahawa pertikaian antara Malaysia dengan pihak yang menuntut bukanlah kontrak komersial dan dengan itu tidak tertakluk kepada timbang tara.

Peguam bagi pihak yang menuntut telah berhujah bahawa memandangkan Malaysia adalah penandatangan Konvensyen Mengenai Pengiktirafan dan Penguatkuasaan Anugerah Timbang Tara Asing (Konvensyen New York), maka anak guam mereka mempunyai hak untuk merampas aset Malaysia di 167 negara penandatangan sekiranya jumlah yang dituntut tidak dibayar. – Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram