Mahkamah Luxembourg ketepi perintah rampas aset Petronas oleh waris Sulu



Sebuah mahkamah di Luxembourg bersetuju mengetepikan perintah yang membenarkan pihak yang mendakwa diri mereka sebagai waris kesultanan Sulu merampas aset Malaysia.

Ini dipercayai merujuk kepada dua anak syarikat Petronas yang dirampas oleh waris kesultanan Sulu tahun lepas berikutan pertikaian undang-undang dengan Malaysia berhubung pajakan ke atas Sabah yang belum dibayar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri ( Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said - yang mendedahkan perkembangan itu - menyifatkan keputusan itu sebagai kemenangan untuk Malaysia.

Julai lalu, waris Kesultanan Sulu mendapat perintah penahanan untuk merampas aset Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus, yang didaftarkan di Luxembourg.


Dalam istilah awam, penahanan merupakan proses undang-undang di mana harta, upah, atau aset penghutang, dipindahkan kepada mereka yang berhutang.

Tindakan waris Kesultanan Sulu merampas aset Petronas itu adalah sebahagian daripada permohonan mereka untuk menuntut AS$14.92 bilion (RM63.34 bilion sehingga berita ini ditulis) daripada kerajaan Malaysia sebagai tindak balas kepada tindakan Malaysia memotong bayaran pajakan tahunan sebanyak RM5,300 kepada kesultanan Sulu pada 2013.

Waris Sulu pada mulanya membawa perkara itu kepada timbang tara Sepanyol pada Julai 2019, dan penimbang tara yang dilantik Gonzalo Stampa membuat keputusan memihak kepada pihak yang menuntut.

Keputusan itu kemudiannya digunakan untuk merampas aset Petronas di Luxembourg.

Malaysia berhujah bahawa Stampa tidak layak untuk menimbang tara dalam kes itu kerana dia sedang disiasat oleh pendakwa raya Sepanyol atas dakwaan menghina perintah mahkamah di Sepanyol dan Perancis.


Azalina, dalam satu kenyataan hari ini, berkata mahkamah di Sepanyol telah membatalkan pelantikan Stampa dan membatalkan keputusannya yang memihak kepada Sulu.

Ini menyebabkan Malaysia memfailkan pelepasan sementara dengan menarik balik perintah penahanan dan perbicaraan yang berlangsung pada 5 Dis, katanya.

“Keputusan ini membuktikan dasar Kerajaan untuk bersungguh-sungguh mempertahankan Malaysia dalam setiap forum bagi memastikan kepentingan, imuniti kedaulatan dan kedaulatan Malaysia dilindungi dan dipelihara sepanjang masa.

"Kerajaan akan berusaha untuk mencapai matlamat ini," katanya. – Mkini
Join our Telegram Channel
Telegram