Waris sultan Sulu mohon rampas aset Malaysia di Belanda



Waris sultan Sulu memfailkan permohonan di mahkamah Belanda untuk kebenaran bagi merampas aset Malaysia di negara itu, kata peguam mereka menerusi permohonan timbang tara bernilai AS$15 bilion (RM69.5 bilion) yang dianugerahkan kepada mereka terhadap kerajaan Malaysia.

Petisyen di Mahkamah Rayuan The Hague itu mencetuskan kembali pertikaian yang sudah lama berlarutan mengenai perjanjian tanah era penjajah, yang mengancam aset global dimiliki kerajaan Malaysia dan syarikat milik kerajaan.

Kerajaan Malaysia, yang tidak mengiktiraf tuntutan waris sultan itu, tidak segera menjawab permintaan untuk mengulas petisyen Belanda berkenaan.

Pada Februari lalu, sebuah mahkamah timbang tara Perancis memerintahkan Malaysia membayar sejumlah AS$15 bilion (RM69.5 bilion) - anugerah timbang tara kedua terbesar pernah direkodkan - kepada waris sultan Sulu yang terakhir.


Malaysia memperoleh penangguhan keputusan itu sementara menunggu rayuan, tetapi anugerah itu tetap boleh dikuatkuasakan di luar Perancis mengikut perjanjian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai timbang tara antarabangsa.

Waris sultan Sulu yang pernah menguasai wilayah merangkumi gugusan kepulauan dilitupi hutan hujan di selatan Filipina dan sebahagian kepulauan Borneo, memohon mahkamah Belanda mengiktiraf dan menguatkuasakan anugerah timbang tara itu.

Mengikut salinan petisyen mahkamah yang dikongsikan peguam mereka, waris sultan Sulu ingin mengambil “tindakan terhadap aset Malaysia yang berada di Belanda”.

Reuters tidak dapat mengesahkan segera mengenai permohonan yang difailkan itu dengan pihak berkuasa mahkamah Belanda.

"Pemfailan di Belanda ini tidak lama lagi akan disusuli tindakan penguatkuasan lain, merangkumi pelbagai jenis, pelbagai bidang kuasa," kata peguam Paul Cohen iaitu peguam bersama utama waris sultan Sulu dari firma guaman Britain, 4-5 Gray's Inn Square.


"Ini mungkin termasuk kaitan langsung aset Malaysia tertentu di Belanda dan tempat lain," kata Cohen kepada Reuters dalam satu kenyataan melalui e-mel.

Petisyen berkenaan bagaimanapun tidak menyatakan perincian tuntutan aset.

Beberapa syarikat gergasi Malaysia mempunyai operasi di Belanda, termasuk firma minyak negara Petronas dan pengeluar minyak sawit Sime Darby Plantations.

Syarikat-syarikat berkenaan tidak segera mengulas mengenai petisyen Belanda itu ketika dihubungi oleh Reuters.

Pada Julai lalu, dua anak syarikat Petronas yang berpangkalan di Luxembourg telah disita oleh bailif mahkamah sebagai sebahagian daripada usaha waris untuk menuntut anugerah berkenaan.


Petronas, yang menyifatkan rampasan Luxembourg sebagai "tidak berasas", berkata ia akan mengambil tindakan undang-undang untuk menghalang percubaan rampasan pada masa depan di 44 negara di mana ia mempunyai aset dan mengehadkan dana syarikat itu yang disimpan di luar negara.

Pertikaian itu adalah mengenai perjanjian yang ditandatangani pada 1878 antara dua penjajah Eropah dan sultan untuk kegunaan wilayah di negara Malaysia masa kini – perjanjian yang dihormati oleh Malaysia yang merdeka sehingga 2013, iaitu membayar waris sultan kira-kira AS$1,000 setahun.

Bagiamanapun Kuala Lumpur menghentikan pembayaran selepas pencerobohan berdarah oleh penyokong bekas kesultanan yang ingin menuntut semula tanah berkenaan dari Malaysia.

Waris sultan itu kemudiannya membuat tuntutan di mahkamah timbang tara atas pemberhentian pembayaran. Malaysia tidak menyertai atau mengiktiraf timbang tara itu. – Reuters





Join our Telegram Channel
Telegram