Desakan bubar Parlimen dibawa ke mesyuarat MKT Umno malam ini



KUALA LUMPUR: Desakan supaya Parlimen dibubarkan segera akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno malam ini, kata Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden Umno berkata, beliau akan berusaha merealisasikan hasrat akar umbi termasuk yang hadir taklimat khas presiden hari ini untuk pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan secepat mungkin.

“Malam ini ada mesyuarat MKT. Kami semua akan mesyuarat MKT. Kami akan bawa mandat hari ini dalam mesyuarat MKT.


“Rakan-rakan MKT, lihat sendiri dukungan ahli Umno dari seluruh negara ini,” katanya disambut sorakan lebih 3,000 ahli Umno yang memenuhi Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) sambil melaungkan “bubar Parlimen”.

Menerusi ucapannya juga, Zahid berkata ahli Umno dan Barisan Nasional (BN) perlu bersedia menghadapi PRU15 pada bila-bila masa.

“Kemenangan besar Barisan Nasional adalah pengukuhan kepada obor perjuangan Najib Razak untuk parti dan negara. Kami percaya, kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob tidak akan membiarkan harapan ini pudar sekiranya tarikh PRU dilengahkan,” katanya.

Dalam pada itu, Zahid menyindir parti lawan yang baru berani bersuara untuk mendesak PRU15 diadakan selepas Najib disabitkan bersalah dan menjalani hukuman penjara.


Katanya, sebelum Najib dipenjara ramai pihak termasuk pembangkang menuduh beliau gila kuasa dan mahu melepaskan diri daripada menghadapi kes mahkamah.

“Menyebut tentang pilihan raya, saya rasa sedikit terkilan kerana banyak pihak menuduh kita gila kuasa. Malah pembangkang seolah-olah menolak untuk diadakan pilihan raya.

“Saya tidak tahu kenapa mereka menolak idea supaya diadakan pilihan raya. Cuma setelah agenda memenjarakan Najib berjaya dilaksanakan sudah kedengaran mereka juga mahukan pilihan raya diadakan,” katanya. – FMT






Join our Telegram Channel
Telegram