KEJAM: Pencuri lembu bakar 32 penduduk termasuk wanita dan kanak-kanak (8 gambar)



ANTANANARIVO, MADAGASCAR – Pihak berkuasa Madagascar mengerahkan beberapa buah helikopter tentera bagi memburu ahli kumpulan penjenayah yang membunuh 32 penduduk tempatan dengan cara membakar kediaman mereka, lapor Badan Penyiaran British (BBC) kelmarin.

Polis berkata, dalam kejadian pada Jumaat lepas, semua mangsa dipaksa masuk ke dalam tiga buah rumah jerami yang kemudiannya dibakar.

Kanak-kanak dan wanita adalah antara korban insiden berkenaan yang berlaku di daerah Ankazobe, utara ibu negara Madagascar, Antananarivo.


Beberapa rakaman video di sekitar kampung Ambolotarakely yang terletak di atas sebuah bukit kecil di Ankazobe, menunjukkan kediaman-kediaman terbabit hangus dengan hanya sebahagian daripada dinding masih kekal berdiri.

Menteri Pertahanan Madagascar, Jeneral Richard Rakotonirina menyalahkan kumpulan pencuri lembu yang dikenali dalam kalangan penduduk setempat sebagai ‘dahalo’ bertanggungjawab ke atas serangan itu.

Kejadian curi lembu dan usaha yang dilakukan untuk menghentikan jenayah tersebut telah membawa kepada serangan berunsur keganasan di negara itu selama bertahun-tahun.


Menurut Rakotonirina, beliau mengesyaki masyarakat setempat menjadi sasaran kumpulan penjenayah terbabit kerana memberikan maklumat kepada pihak berkuasa ketika operasi memerangi mereka dijalankan sebelum ini.

“Kami akan memburu mereka yang terlibat dalam jenayah ini serta semua yang bersubahat,” katanya yang melawat lokasi kejadian selepas serangan.

Rakotonirina turut melawat sebilangan mangsa yang dimasukkan ke hospital, di mana tiga daripadanya dirawat di unit rawatan rapi. – Agensi

















Join our Telegram Channel
Telegram