Ketua Hakim Negara digesa tarik diri dari menjadi hakim kes Najib



BEKAS Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Hamidah Osman membuat laporan polis berhubung hantaran di akaun Facebook individu bernama Zamani Ibrahim yang dipercayai suami kepada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Hantaran dibuat individu terbabit yang berbaur politik dan dikatakan gembira dengan kejatuhan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kini tular di media sosial.

Hamidah turut berkongsi di laman Facebooknya laporan polis yang dibuatnya di Balai Polis Presint 7 Putrajaya pada kira-kira jam 9.30 pagi tadi.

Berdasarkan laporan polis berkenaan, beliau memaklumkan menerima satu pautan hantaran Facebook di mana di dalamnya dipercayai mengandungi kenyataan seorang lelaki bernama Zamani Ibrahim yang juga dipercayai merupakan suami kepada Ketua Hakim Negara.


“Isi kandungan hantaran ini saya percaya dan yakin berupaya mencalarkan imej sistem keadilan negara. Saya percaya Zamani Ibrahim selaku suami Tengku Maimun berupaya mencalarkan integriti dan imej sistem keadilan negara.

“Bagaimana boleh kita yakin penghakiman yang dibuat Tengku Maimun benar-benar telus dan adil tanpa dipengaruhi oleh suaminya,” katanya.

Hamidah yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rapat, berkata laporan polis yang dibuatnya adalah demi integriti kehakiman negara.

Menurutnya, isi kandungan hantaran yang tular berkenaan secara munasabah berupaya membawa kepada tafsiran yang penulisnya merupakan seorang yang suka Najib jatuh.

“Sehubungan itu saya membuat laporan ini dengan tujuan meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat demi melindungi integriti institusi kehakiman negara dan integriti Ketua Hakim Negara serta semua hakim-hakim yang lain,” katanya.


Beliau turut mendesak agar Tengku Maimun segera menarik diri dari menjadi hakim bagi kes rayuan terakhir Najib berhubung kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd yang kini sedang berlangsung di Mahkamah Persekutuan Putrajaya.

“Demi menjaga integriti undang-undang negara, Tengku Maimun perlu segera menarik diri dari menjadi hakim kes Datuk Seri Najib!” tegasnya.

Sementara itu, turut tular gambar seorang individu dikatakan suami kepada Ketua Hakim Negara berada di Mahkamah Persekutuan ketika panel hakim menolak permohonan Najib untuk mengemukakan bukti tambahan berhubung kesnya.

Kehadiran ‘luar biasa’ individu berkenaan di mahkamah menimbulkan persoalan selain turut didakwa merakam gambar ketika prosiding mahkamah berlangsung.

Rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd dihadapi Najib didengar panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Tengku Maimun.

Turut bersidang, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan tiga hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Nalini Patmanathnan, Datuk Mary Lim Thiam Suan serta Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah. – Malaysiapost



Please subscribe


 ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram