Lelaki disyaki ugut Ketua Hakim Negara direman 4 hari



Pihak polis menahan seorang lelaki berusia 30 tahun malam tadi bagi membantu siasatan berhubung ugutan dan ancaman terhadap Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Skandaguru Anandan berkata, lelaki itu ditahan di sebuah rumah di Puchong, Selangor sekitar jam 11.45 malam.

Katanya, pihak polis turut merampas sebuah telefon bimbit yang disyaki digunakan untuk memuat naik hantaran berkenaan di laman Facebook.

"Suspek dibenarkan untuk ditahan reman selama empat hari bermula 20 hingga 23 Ogos untuk siasatan lanjut.


"Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan jenayah di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana mengeluarkan kenyataan yang berkecenderungan menghasut, Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian," katanya dalam kenyataan.

Semalam Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata pihak polis akan melakukan siasatan segera berhubung ugutan yang dibuat terhadap Tengku Maimun di media sosial.

Tengku Maimun kini mengetuai panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang mendengar rayuan bekas perdana menteri Najib Razak dalam kes SRC International Sdn Bhd.

Ia adalah usaha terakhir Najib untuk mengelak daripada dipenjarakan berikutan sabitan bersalah dalam kes tersebut.


Keputusan mahkamah tertinggi menolak permohonan pihak pembelaan bagi mengemukakan bukti baru dan menangguhkan perbicaraan mendapat kritikan daripada penyokong Najib dan pemimpin tertentu dalam Umno.

Malaysiakini semalam melaporkan suami kepada ketua hakim negara itu, Zamani Ibrahim turut diserang di media sosial.

Satu catatan media sosial memberi amaran mengenai "pertumpahan darah" dan menggesa Maimun untuk menarik diri daripada mendengar rayuan itu. – Mkini







Join our Telegram Channel
Telegram