SANTIAGO, CHILE – Sebuah lubang benam berdiameter kira-kira 25 meter (m)
muncul di kawasan perlombongan di Chile, sekali gus mendesak pihak berkuasa
untuk menyiasatnya dengan lebih terperinci, lapor laman berita Wion News
semalam.
Menurut laporan media, pekerja sebuah syarikat Kanada, Lundin Mining yang
mengawal tapak perlombongan berhampiran Santiago menemui lubang benam itu
apabila kembali bekerja selepas hujung minggu.
Tapak itu pada ketika ini sedang disiasat oleh perkhidmatan geologi dan
perlombongan negara, Sernageomin dan beberapa pihak berkuasa berkaitan.
“Terdapat jarak yang agak jauh pada kedalaman kira-kira 200 m ke bawah. Kami
tidak mengesan sebarang bahan di bawah sana tetapi melihat kehadiran air yang
banyak,” kata pengarah Sernageomin, David Montenegro.
Tapak itu ditutup untuk siasatan lanjut dan dalam kenyataan mereka, Lundin
Mining berkata, tiada pekerja yang hadir cedera atau terjejas oleh lubang itu.
“Setelah dikesan, kawasan itu segera diasingkan dan pihak berkuasa kawal selia
yang berkaitan telah pun diberitahu mengenai perkara itu. Tiada kesan kepada
kakitangan, peralatan atau infrastruktur.
“Rumah terdekat adalah lebih 600 m dari lokasi lubang tersebut, manakala
mana-mana kawasan berpenduduk atau perkhidmatan awam berada hampir satu
kilometer dari zon terjejas,” kata kenyataan rasmi syarikat itu. –
Agensi
Join our Telegram Channel