Najib tiba di mahkamah bagi kes 1MDB



KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini sebentar tadi.

Najib, 69, tiba pada pukul 8.30 pagi dengan menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) diiringi anggota polis.

Hari ini merupakan kali pertama muncul di mahkamah menjalani hukuman penjara selama dua hari di Penjara Kajang.


Kemunculan Najib adalah bagi menghadiri perbicaraan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.28 bilion di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Selain hari ini, esok Najib sekali lagi akan dibawa daripada penjara ke Mahkamah Tinggi di sini bagi menghadiri perbicaraan kes meminda laporan audit 1MDB bagi mengelakkan dirinya dikenakan tindakan undang-undang.

Turut didakwa bersubahat dengan Najib bagi pertuduhan itu ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.


Selain kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. dan penyelwengan dana 1MDB serta kes membabitkan laporan audit 1MDB, Najib masih mempunyai dua lagi kes yang masih belum berjalan.

Kes tersebut ialah kes pengubahan wang haram membabitkan RM27 juta dan kes membabitkan Najib dan bekas Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah yang didakwa atas enam pertuduhan pecah amanah harta kerajaan berjumlah RM6.6 bilion.

Kelmarin Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dalam kes dana syarikat SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta. – Kosmo




Please subscribe



Join our Telegram Channel
Telegram