#PRU15: Anwar pertimbang tanding Parlimen Tambun



IPOH: Presiden PKR Anwar Ibrahim mempertimbangkan cadangan supaya beliau bertanding di kerusi Parlimen Tambun pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, cadangan berkenaan telah diusulkan kepadanya namun keputusan belum lagi boleh diputuskan kerana fokus parti ketika ini adalah berkaitan jumlah kerusi dan jentera pilihan raya terlebih dahulu.

“Anda fikir macam mana? Kalau anda kata boleh, saya akan fikirkan. Ia satu cadangan yang sedang saya pertimbangkan.

“PKR bahagian Tambun ada usulkan, namun saya belum putuskan lagi. Kawan-kawan di Port Dickson pula merayu minta saya kekal di sana. Saya kena fikir dahulu,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Perak.


Ketua PKR Tambun, Muhamad Arafat Varisai Mahamad dilaporkan mahu memberi laluan kepada Anwar bertanding di kerusi Parlimen itu pada PRU15 dan keputusan telah dipersetujui di peringkat akar umbi menerusi Mesyuarat Agung Tahunan bahagian sebelum ini.

Menyentuh mengenai kerusi dan calon bagi PKR Perak untuk PRU15, Anwar berkata, perkara itu akan dibincang dan diputuskan pada mesyuarat Majlis Presiden.

Terdahulu, beliau berkata, mesyuarat pada hari ini bersetuju untuk melantik Ahli Parlimen Tanjung Malim yang juga Naib Presiden PKR Chang Lih Kang sebagai Pengerusi MPN Perak bagi penggal 2022 hingga 2025. – FMT

 

Join our Telegram Channel
Telegram