#PRU15 paling sesuai diadakan 6 bulan lagi, kata Azmin



PETALING JAYA: Pilihan raya umum ke-15 (PRU15) sesuai diadakan dalam tempoh sekurang-kurangnya enam bulan bulan lagi, kata Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Azmin Ali.

Azmin berkata, ini kerana negara memerlukan sedikit masa lagi untuk memastikan pengukuhan aliran tunai dan ekonomi yang lebih stabil.

Sambil mengakui prestasi perdagangan dan pelaburan semakin mencatatkan pertumbuhan dan perkembangan yang baik, Azmin menegaskan, negara memerlukan sedikit masa untuk mengadakan PRU15 kerana sebahagian besar baru hendak memulakan perniagaan.


“Aliran tunai baru dapat diperkukuhkan kerana pembukaan sempadan. Kita berada di landasan yang cukup kukuh untuk memastikan rakyat mendapat pekerjaan, syarikat mendapat peluang baharu,” katanya lapor Astro Awani.

Sementara itu, Azmin berkata, pelabur mahukan kestabilan politik sesebuah negara yang menjadi destinasi pelaburan.

“Dalam konteks ini, walaupun kita mengalami beberapa perubahan pentadbiran dalam tiga tahun ini, tetapi harus diingat sistem demokrasi negara Malaysia dan institusi demokrasi Malaysia masih kuat.


“Sebab itu ia memberi keyakinan kepada pelabur asing bahawa pentadbiran yang mengambil alih pentadbiran lama masih berpegang kepada prinsip dan nilai-nilai demokrasi,” katanya.

Katanya lagi, Malaysia yang mempunyai infrastruktur yang baik selain tenaga buruh mahir, menunjukkan negara sudah bersedia menerima pelaburan yang berkualiti. – FMT


ARTIKEL BERKAITAN:
 

Join our Telegram Channel
Telegram