#PRU15: PN tak jadi guna logo baharu – Dominic Lau



KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) tidak akan menggunakan logo baharu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, gabungan parti politik itu memutuskan untuk menggunakan logo sedia ada diputuskan pada 27 Julai lalu menerusi mesyuarat Majlis Tertinggi PN.

“Pada 27 Julai lalu, mesyuarat Majlis Tertinggi PN telah buat keputusan bahawa kita akan gunakan logo lama PN untuk bertanding dalam PRU akan datang.


“Ada perbincangan mengenai logo baharu PN tapi ada banyak faktor untuk kita pertimbangkan.

“Keputusan itu dicapai kita akan menggunakan logo sedia ada untuk bertanding dalam PRU15,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pusat parti di ibu pejabat Gerakan, hari ini.

Dominic berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa gabungan itu akan memperkenalkan logo baharu pada PRU15.


Muhyiddin berkata, ia susulan cadangan mengubah suai logo sedia ada yang dibuat pada Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada Julai lalu.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, PN menggunakan logo bertera perkataan Perikatan Nasional dengan warna biru gelap.

Logo itu diperkenalkan pada 14 September 2020. – MG



Join our Telegram Channel
Telegram