Rayuan terakhir Najib didengar Khamis ini – Ketua Hakim Negara



Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak bagi menangguhkan pendengaran rayuannya bagi mengetepikan sabitan serta hukuman terhadapnya dalam kes berkaitan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd.

Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel lima hakim dalam menolak permohonan itu mengarahkan pihak pembelaan meneruskan rayuan utama mereka, Khamis ini.

“Rayuan utama akan diteruskan pada hari Khamis ini pukul 9.30 pagi,” katanya. 

Ini merupakan rayuan bekas perdana menteri itu yang terakhir, selepas panel tiga hakim Mahkamah Rayuan pada 8 Dis lepas mengekalkan sabitan Ahli Parlimen Pekan itu, hukuman 12 tahun penjara, serta denda RM210 juta yang dikenakan terhadapnya oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada 28 Julai 2020.


Lain-lain panel hakim dalam pendengaran hari ini adalah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan serta Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Dalam menyampaikan penghakimannya Tengku Maimun menetapkan bahawa permohonan yang dibuat oleh peguam utama Najib, Hisyam Teh Poh Teik bagi tempoh penangguhan sekurang-kurangnya tiga hingga empat bulan, ditolak sebulat suara, kerana hak bagi perbicaraan yang adil tidak boleh ditangguhkan terlalu lama.

“Dalam perkara ini kita perlu ingatkan diri sendiri mengenai Arahan Amalan Ketua Hakim Negara, yang mengatakan bahawa kes-kes yang sebegini perlu diberi keutamaan. Realiti sebenarnya adalah dana awam yang agak besar akan dibazirkan sekiranya penangguhan diberikan dalam kes sebegini yang merupakan satu pilihan mudah.

“Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan dan Kedaulatan Undang-undang menuntut perayu dilayan sama seperti tertuduh lain.


“Oleh itu, kami menyatakan sekali lagi bahawa walaupun perayu berhak mendapat haknya menukar peguam, dia tidak berhak membuat pilihan ini dengan mengorbankan mahkamah, pendakwaan atau keseluruhan sistem keadilan,” katanya dan menambah pihak pembelaan memohon penangguhan rayuan ini atas sebab mudah, bahawa mereka tidak bersedia.

Tengku Maimun menegaskan bahawa masa yang diambil untuk kes ini, terutama jumlah hari yang ditetapkan untuk pendengaran, bermakna ramai lagi penjenayah dan orang yang dituduh terpaksa menunggu giliran mereka untuk rayuan mereka didengar.

“Keadilan yang ditangguhkan dalam kes ini, adalah juga keadilan yang dinafikan bagi tertuduh yang lain,” katanya. – Bernama



Join our Telegram Channel
Telegram