Orang kuat Najib Razak, Lokman Noor Adam menggesa Majlis Kerja Tertinggi (MKT)
Umno mengambil tindakan disiplin ke atas naib presiden parti itu, Ismail Sabri
Yaakob yang juga adalah perdana menteri.
Bercakap kepada pemberita di luar mahkamah hari ini, bekas ahli MKT Umno itu
mendedahkan beberapa perjanjian yang kononnya bocor antara Ismail Sabri dan
Perikatan Nasional (PN).
Lokman mendakwa bahawa Ismail Sabri bersetuju untuk tidak menggantikan peguam
negara sekarang dan mengekalkan jawatan semasa kabinet dan GLC yang disandang
oleh ahli Bersatu dan PAS.
Dia juga mendakwa perdana menteri secara bertulis bersetuju untuk
mempercepatkan kes mahkamah membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak dan
presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
"Ini ada dalam perjanjian dan ini bukti jelas bahawa beliau telah campur
tangan dalam urusan mhakamah, campur tangan dalam urusan Jabatan Peguam
Negara," katanya kepada media.
Berdasarkan salinan perjanjian yang dikatakan dibuat pada bulan Julai,
bagaimanapun hanya terkandung perkara satu hingga enam dan perkara 10 daripada
perjanjian yang didakwa antara Ismail Sabri dan PN.
Dalam dokumen yang tidak dapat disahkan itu, PN berikrar menyokong Ismail
Sabri sebagai perdana menteri dan sebagai balasan, Bersatu diberi jawatan
timbalan perdana menteri dan Muhyiddin Yassin dilantik menteri mentor.
Pendedahan Lokman hari ini adalah berkaitan perkara yang kononnya tidak jelas
dalam perjanjian itu.
Hari ini
Lokman akan didakwa di Mahkamah Sesyen
kerana memuat naik video menghasut terhadap Ismail Sabri di laman Facebook.
Dia tiba di mahkamah pada jam 9.05 pagi.
Bukit Aman mengeluarkan kenyataan semalam dan menjelaskan Lokman akan didakwa
mengikut Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 kerana
menyalahgunakan kemudahan rangkaian melalui dua video berasingan yang
disiarkan di Facebooknya.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara
tidak melebihi setahun, atau kedua-duanya sekali.
Lokman hari ini mendakwa campur tangan Ismail Sabri dalam badan kehakiman
adalah sebab mengapa tiada tindakan diambil ke atas siasatan SPRM terhadap
Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali, selain tiada tindakan undang-undang terhadap
bekas gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Zeti Akhtar Aziz kerana "dilindungi”
oleh perdana menteri.
Dia seterusnya mendakwa bahawa pentadbiran kerajaan sebelum ini telah mencapai
penyelesaian dengan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat untuk mengeluarkan ahli
nama perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low daripada Notis Merah
Interpol.
"Kita bernasib baik kerana ketua pesuruhjaya SPRM telah membantah dan beliau
komited untuk bawa balik Jho Low ke muka pengadilan.
"Keadaan negara kita sekarang ini, 'kedaulatan undang-undang' bertukar jelas
ke 'rundang-undang rimba'," katanya.
Jho Low didakwa sebagai dalang di sebalik skandal 1MDB dan telah didakwa di
mahkamah Amerika Syarikat dan Malaysia, meskipun tanpa kehadirannya.
Pada tahun 2018, Jabatan Kehakiman Ameika Syarikat mendakwa Low dengan
konspirasi untuk mengubah wang haram bernilai berbilion dolar daripada 1MDB.
Di Malaysia, dia dan rakan sekutunya berdepan lima pertuduhan pengubahan wang
haram berjumlah AS$1.03 bilion (RM4.5 bilion).
ARTIKEL BERKAITAN:
- Lokman gesa MKT UMNO ambil tindakan disiplin ke atas Ismail Sabri
- Surat bocor Ismail-Muhyiddin: Nak tahu surat itu sahih atau tak, kenapa tak tanya Raja Petra? kata Hamzah
Join our Telegram Channel