PM beri isyarat Parlimen bubar Oktober, jentera parti diminta bersedia



BERA – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata semua jentera parti perlu bersiap sedia sepenuhnya memandangkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dijangka semakin dekat.

Beliau berkata, jika PRU-15 diadakan sebelum akhir tahun seperti kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohammad Hassan bermakna waktu paling hampir pembubaran parlimen adalah pada bulan hadapan.

“Kalau waktu berkempen (dalam tempoh) dua bulan bermakna bulan Oktober. (Sekarang) ini sudah satu pertiga bulan sembilan, dua tiga minggu lagi.


“Di peringkat ‘top 5’ (tertinggi lima) UMNO kita belum bincang lagi tarikh dan selepas itu, saya akan berbincang dengan MIC, MCA serta komponen lain sebelum dibawa ke kabinet.

“Ini kerana perkara itu mesti mendapat kelulusan kabinet terlebih dahulu sebelum saya menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan parlimen,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis penyampaian peruntukan masyarakat Cina dan India Parlimen Bera di Kompleks Bangunan UMNO Bahagian Bera Padang Luas di sini hari ini.

Dalam pada itu beliau berkata, semua jentera BN di Parlimen Bera perlu terus bergerak dan bersedia sepenuhnya dalam berhadapan PRU-15 yang mencabar seterusnya membawa kemenangan kepada BN.


Katanya selain mempertahankan kemenangan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri beliau berharap kemenangan khususnya Parlimen Bera dapat dikekalkan dengan majoriti lebih besar.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, sudah tiba masanya kerusi DUN Triang yang ditawan DAP sejak 1990 dirampas semula pada pilihan raya umum akan datang.

“Kita kena menang bergaya, kita kena memang besar kerana seluruh Malaysia pandang kerusi Parlimen Bera, ini kerusi calon Ahli Parlimen Bera iaitu Perdana Menteri takkan menang 2,000, 3,000 sekurangnya menang 5,000 atau 10,000 barulah orang pandang dan hormat pengundi Bera.

“Saya percaya MCA mahu memberikan kerusi kepada kerajaan, harap semua jentera MCA, MIC dan UMNO bekerja ke arah pilihan raya, kita rampas kerusi Triang daripada DAP,” ujarnya. – Kosmo





Join our Telegram Channel
Telegram