Rogol rakan senegara, lelaki Malaysia dipenjara 13 tahun di Singapura



PETALING JAYA: Seorang lelaki Malaysia yang sebelum ini bebas daripada tuduhan rogol, dihukum penjara 13 tahun dan 12 sebatan selepas rayuan pendakwaan terhadap kesnya dibenarkan Mahkamah Rayuan Singapura.

Straits Times melaporkan, Hakim Judith Prakash, Tay Yong Kwang dan Woo Bih Li akan mengeluarkan penghakiman bertulis pada tarikh lain.

Lelaki berusia 45 tahun itu didakwa merogol mangsa yang juga rakyat Malaysia berusia 29 tahun, di sebuah rumah sewa pada 6 Ogos 2017 malah turut mencekik wanita itu.


Tertuduh telah dibebaskan daripada tuduhan itu pada Jun 2020 selepas Mahkamah Tinggi mendapati pendakwaan gagal membuktikan keraguan munasabah.

Lelaki itu sebelum ini mendakwa hubungan seks dengan mangsa atas dasar suka sama suka, selain menafikan telah mencekik wanita itu sebaliknya mengatakan hanya membuat “love bite” pada lehernya.

Kedua-duanya adalah warga Malaysia yang bekerja di Singapura dan menjalin hubungan pada 2012 sebelum memilih untuk menyewa sebuah rumah pangsa bersama.

Hubungan mereka bagaimanapun mula keruh pada 2017 selepas lelaki itu kehilangan kerja, menyebabkan mereka memutuskan hubungan. Bagaimanapun, lelaki terbabit tetap menginap di rumah itu setiap kali datang ke Singapura untuk mencari kerja.


Sementara itu dalam keterangannya sebelum ini, mangsa berkata telah mengelak berhubung dengan mangsa, malah tinggal di rumah ibu saudaranya pada 4 dan 5 Ogos iaitu sebelum kejadian.

Apabila dia kembali ke situ pada 6 Ogos, tertuduh berulang kali mempertikai keputusannya menamatkan perjanjian sewa di rumah itu mulai September tahun sama. Tertuduh kemudian merogol dan cuba mencekiknya.

Lelaki terbabit kemudian membawanya ke klinik berhampiran dan mangsa memaklumkan doktor dia telah dirogol, menyebabkan kakitangan klinik menghubungi polis.

Mangsa pada mulanya berjaya dipujuk tertuduh untuk tidak melaporkan kejadian. Bagaimanapun, selepas pulang ke rumah dan melihat tertuduh masih di situ, dia sekali lagi menghubungi polis. – FMT







Join our Telegram Channel
Telegram