Warga emas disyaki rogol anak tiri usia 17 tahun



PETALING JAYA: Warga emas berusia 64 tahun ditahan selepas disyaki merogol anak tirinya berusia 17 tahun, dalam kejadian di sebuah rumah berdekatan Batu Anam, di Segamat.

Suspek dicekup di kawasan sama, pada 8.05 malam, pada 21 Sept, selain dipercayai mula melakukan perbuatan keji itu sejak mangsa berusia 12 tahun.

Ketua Polis Segamat Ahmad Zamry Marinsah, berkata perbuatan suspek terbongkar selepas mangsa mengadu kepada ibunya berhubung perbuatan terkutuk dilakukan oleh bapa tirinya sebelum membuat laporan polis.


“Bertindak daripada maklumat diterima, suspek ditahan pada 21 September lalu dan siasatan awal mendapati perbuatan terkutuk berlaku terhadap mangsa sejak berusia 12 tahun iaitu bermula tahun 2017.

“Suspek sering melakukan perbuatan itu di kediaman mereka ketika tinggal berdua dan turut melakukan ugutan. Suspek direman tujuh hari sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan,” lapor Harian Metro.

Zamry berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan kerana melakukan merogol.

Katanya, sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun serta hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan. – FMT
Join our Telegram Channel
Telegram