“Saya tak pernah kata tanding Parlimen Rembau” – Tok Mat



SEREMBAN – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini menegaskan beliau tidak pernah bercakap di khalayak ramai untuk bertanding kerusi Parlimen Rembau dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Rembau berkata, apa yang diberitahu kepada umum selama ini hanya hasratnya untuk bertanding pada peringkat Parlimen selepas memegang kerusi Dewan Undangan Negeri sejak 2004.

“Saya tidak pernah kata akan bertanding kerusi Parlimen Rembau. Saya cuma kata sudah sampai masa untuk saya bertanding peringkat Parlimen.


“Dengan kedudukan sebagai Timbalan Presiden parti, sudah tentu saya akan diberi peluang untuk memilih kerusi mana yang hendak saya tandingi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada para pemberita selepas merasmikan Mini Ekspo Keselamatan dan Kesihatan sempena sambutan Hari Malaysia 2022 anjuran Persatuan Penduduk Bandar Sri Sendayan di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang tidak mempertahan kerusi disandangnya itu pada PRU15.

Kata Khairy, beliau diminta oleh Mohamad untuk memberi laluan kepada Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu untuk bertanding di kawasan berkenaan.


Mohamad dalam pada itu menarik perhatian, pada masa ini belum ada keputusan muktamad mengenai calon-calon yang akan disenaraikan oleh BN termasuk untuk kerusi Parlimen Rembau sendiri.

Menurutnya, tumpuan kini adalah terhadap tahap kesiapsiagaan BN untuk memenangi PRU15.

“Kami belum bincang pasal calon dan kawasan. Perbincangan hanya tertumpu kepada tahap siap siaga terutamanya jentera bagi menghadapi PRU itu kelak,” katanya.

Tambahnya, beliau telah menjelajah ke seluruh Semenanjung bagi meninjau tahap kesiapsiagaan itu dan akan berlepas ke Sabah hari ini untuk menyambung misi tersebut. – Kosmo





Join our Telegram Channel
Telegram