UMNO Tampin tak nak KJ, mahu anak tempatan jadi calon MP



KUALA LUMPUR – UMNO Bahagian Tampin berharap pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) akan meletakkan calon anak tempatan untuk bertanding di kerusi Parlimen Tampin pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Menurut sumber, cadangan itu diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa bahagian berkenaan kira-kira dua tahun lalu.

Beliau memberitahu, sehingga kini, UMNO Bahagian Tampin konsisten dengan pendirian tersebut malah berharap calon bagi kerusi Parlimen Tampin dipilih dalam kalangan pemimpin atau ahli bahagian tersebut.

“Mereka berharap pucuk pimpinan parti mendengar cadangan ini,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.


Tampin dikatakan antara kerusi Parlimen yang berpotensi ditandingi oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin selepas beliau mengumumkan kesediaan memberi laluan kepada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk mempertahankan penguasaan BN di kerusi Parlimen Rembau.

Kelmarin, Khairy menyatakan beliau bersedia menerima apa sahaja keputusan pucuk pimpinan parti berhubung pencalonannya pada PRU-15.

Selain Tampin, timbul desas-desus mengenai kemungkinan bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu dicalonkan oleh BN di Putrajaya atau Port Dickson.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Seremban, Zool Amali Hussin pula berharap agar BN meletakkan Khairy untuk bertanding di kerusi Parlimen Seremban.


Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Tampin, Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa percaya  pucuk pimpinan BN akan meletakkan Khairy di tempat yang paling sesuai pada PRU-15.

Beliau berkata, adalah satu kerugian kepada UMNO dan BN sekiranya Khairy yang dianggap sebagai aset parti tidak bertanding di mana-mana kerusi.

“Kita percaya ia bukan satu pengakhiran bagi Khairy apabila beliau tidak dapat bertanding di Rembau,” katanya.

Mohd. Isam menambah, pucuk pimpinan BN juga seharusnya mengambil kira rekod prestasi cemerlang Khairy semasa menjadi Menteri Belia dan Sukan dahulu diikuti sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi serta yang terkini, Menteri Kesihatan.

“Sememangnya beliau merupakan seorang pemimpin muda yang dihormati kawan dan lawan,” jelasnya. – MG



Join our Telegram Channel
Telegram