Agong, Raja Permaisuri berangkat ke UK bagi lawatan khas hingga 16 Okt



Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat ke London malam ini bagi mengadakan lawatan khas ke United Kingdom (UK) bermula esok hingga 16 Okt ini.

Pesawat khas yang membawa Seri Paduka berdua berlepas dari Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang pada 9.30 malam.

Antara yang hadir untuk mengucapkan selamat berangkat kepada Seri Paduka berdua ialah Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun dan Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar.

Sebelum berangkat, Seri Paduka berdua menerima tabik Hormat Diraja daripada Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja yang terdiri daripada dua pegawai dan 26 anggota lain-lain pangkat.


Turut berangkat anakanda Seri Paduka iaitu Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan 'Athiyatullah.

Dalam rangka lawatan khas itu, Seri Paduka berdua dijadualkan berangkat melakukan kunjungan hormat ke atas Raja Britain Raja Charles III di Istana Buckingham pada 12 Okt.

Pada hari sama (12 Okt), Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut dijadualkan berangkat menyempurnakan majlis perasmian Stesen Janakuasa Battersea, projek hartanah ikonik pelaburan Malaysia di London.

Stesen janakuasa berkeluasan 16.99 hektar itu adalah projek hartanah membabitkan usaha sama Sime Darby Property, SP Setia Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Permodalan Nasional Berhad sejak 2012 dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM51.53 bilion. – Mkini


ARTIKEL BERKAITAN:




Join our Telegram Channel
Telegram