Hanipa digugur menjelang #PRU15?



PETALING JAYA: Penyandang Parlimen Sepang Hanipa Maidin besar kemungkinan digugurkan sebagai calon, pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dan akan digantikan pemimpin lain dalam Amanah.

Sumber terdekat berkait perkara itu, berkata parti bercadang mengetengahkan Ketua Wanita Amanah Aiman Athirah, yang pencalonannya dijangka diumum pada tempoh terdekat.

Walaupun bekas timbalan menteri undang-undang itu sedia menerima keputusan parti, “majoriti” jentera parti dan penyokong di kawasan itu menentang rancangan mencalonkan Aiman, dakwa sumber yang memberitahu dengan syarat identitinya tidak didedah.

Sumber itu berkata, parti bercadang menggugurkan Ahli Parlimen dua penggal itu atas alasan kesihatan.


Hanipa dipilih sebagai Ahli Parlimen Sepang, pada pilihan raya umum 2013. Pada 2016, beliau menjalani pembedahan kerana pendarahan otak dan pada 2018, beliau didapati menderita serangan vasovagal, yang mengakibatkan penghidap pengsan akibat cetusan tertentu.

“Sekiranya mereka mencari pengganti bagi Hanipa, kami lebih cenderung sama ada Faiz Fadzil atau Hasbie Muda,” kata sumber berkenaan masing-masing merujuk kepada Ahli Majlis Tertinggi dan ketua Pemuda Amanah.

Sumber berkata, duo terbabit menjadi pilihan memandangkan Faiz rapat dengan Pemuda dalam parti dan mempunyai ijazah undang-undang, manakala Hasbie menulis banyak buku dan berkemahiran dalam menganalisis isu.

Sumber itu juga mendakwa Amanah Sepang tidak berminat kepada Aiman mengambil kira beliau dilihat tidak mampu menarik sokongan pengundi muda. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram