Keputusan PAS bersama PN sudah dijangka, UMNO-BN gerak solo kekal tolak pengkhianat



Presiden Umno Zahid Hamidi berkata mereka sudah menjangkakan PAS akan terus bersama Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya umum akan datang. 

"Dengan keputusan itu, Umno bersama BN akan terus bergerak solo dengan mengekalkan imej parti yang sentiasa berpaksikan kesederhanaan dan mampu menawarkan kestabilan serta kemakmuran kepada rakyat yang berbilang kaum dan agama dalam negara ini," katanya.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang hari ini berkata mesyuarat jawatankuasa kerja parti itu memutuskan untuk memperkukuh kerjasama dalam PN untuk menghadapi pilihan raya umum.


Dalam kenyataan pendek empat perenggan itu, Hadi juga berkata mereka akan memuktamadkan perbincangan kerusi-kerusi negeri dengan PN.

Kenyataan itu tidak menyebut secara jelas mereka memilih PN dan tidak lagi mahu bekerjasama dengan Umno dan BN, tetapi menunjukkan kecenderungan ke arah itu.

PAS sebelum ini berkali-kali menegaskan mahu mempertahankan “perpaduan ummah” dengan mendamaikan BN dan PN yang bertelagah.

Dalam kenyataan ringkas petang ini, Zahid juga menegaskan Umno tidak pernah menutup agenda perpaduan ummah berteraskan keikhlasan dan kejujuran. 


Istiqamah pertahankan kerjasama PAS dalam PN

Sementara itu, Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin berkata dia amat menghargai keputusan Jawatankuasa PAS Pusat untuk memperkukuhkan kerjasama dalam gabungan itu dalam menghadapi PRU15.

“Keputusan ini memberikan suntikan semangat kepada Perikatan Nasional untuk bergerak dengan lebih tersusun dan bersatu-padu dalam meraih sokongan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sambil merakamkan penghargaan kepada Abdul Hadi, presiden Bersatu itu berharap rakan-rakannya itu akan terus istiqamah mempertahankan kerjasama PAS dalam PN.

“Saya mendoakan semoga PN mendapat mandat rakyat dalam PRU15 untuk membentuk sebuah kerajaan yang benar-benar memberi tumpuan kepada kesejahteraan dan kemakmuran rakyat,” katanya. – Mkini





Join our Telegram Channel
Telegram