PAS kekal bersama PN, tak bubar 3 DUN



PAS hari ini mengekalkan pendirian mereka untuk tidak membubarkan sebarang dewan undangan negeri (DUN) yang ditadbirnya.

Selain itu PAS juga memberi bayangan bahawa mereka memilih untuk bersama Perikatan Nasional berbanding Umno-BN bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata keputusan itu dicapai dalam mesyuarat jawatankuasa kerja PAS Pusat yang diadakan di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur sebentar tadi.


"(PAS) mengekalkan pendirian untuk tidak membubarkan DUN Kelantan, Terengganu, dan Kedah," katanya.

Sebelum ini PAS secara tidak rasmi menyatakan mereka tidak bercadang membubarkan ketiga-tiga DUN berkenaan jika Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan pada tahun ini.

PAS memberi alasan bahawa parti itu mahu memberi fokus pada persiapan menghadapi musim tengkujuh yang dijangka berlaku hujung tahun ini.


Dalam kenyataan sama, Abdul Hadi juga menegaskan keinginan PAS memperkukuhkan kerjasama mereka dengan Perikatan Nasional (PN) dan tidak menyebut langsung mengenai Muafakat Nasional (MN).

"Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat hari ini telah membuat keputusan memperkukuhkan kerjasama dalam PN untuk menghadapi PRU ke-15 atas prinsip penyatuan ummah, dan memuktamadkan perbincangan kerusi-kerusi di negeri dengan PN," katanya.

Tidak ketinggalan, Abdul Hadi berkata senarai calon PAS untuk dipertandingkan dalam PRU ke-15 perlu dibawa ke Majlis Syura Ulama untuk dinilai. – Mkini


ARTIKEL BERKAITAN:



Join our Telegram Channel
Telegram