Lantik AG baharu, hentikan dulu kes jenayah terhadap ahli politik, kata Zaid



PETALING JAYA: Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim menggesa supaya semua kes jenayah terhadap ahli politik ditangguhkan buat sementara waktu sehingga peguam negara (AG) baharu dilantik.

Zaid berkata, siasatan terhadap potensi elemen jenayah terkandung dalam buku bekas AG, Tommy Thomas, membangkitkan kebimbangan berlakunya pendakwaan terpilih.

Menurutnya, “kegagalan” pengganti Thomas, Idrus Harun, untuk bertindak juga tidak membantu keadaan.

“Semua kes berprofil tinggi patut ditangguhkan sehingga pelantikan AG baharu, yang pasti akan berlaku menyusuli pilihan raya umum akan datang,” katanya kepada FMT.


Menurutnya, ini termasuk kes terhadap Lim Guan Eng (DAP), Syed Sadiq Syed Abdul Rahman (Muda) selain Ahmad Zahid Hamidi dan Shahrir Samad (kedua-duanya Umno).

Pada Jumaat, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, pasukan petugas khas yang menjalankan siasatan terhadap Thomas berhubung memoirnya telah merumuskan keperluan menyiasat empat isu utama.

Antaranya melibatkan dakwaan mengenai pelantikan hakim serta salah guna kuasa oleh Thomas, yang didakwa Zaid turut termasuk pendakwaan terpilih.

“Dua isu ini amat membimbangkan kerana berpotensi mencemar sistem keadilan kita,” kata Zaid.

Selain itu, katanya, Idrus sebagai AG kini juga tidak melakukan apa-apa untuk mengukuhkan keyakinan terhadap sistem keadilan Malaysia, yang jelas dapat dilihat ketika perbicaraan dan rayuan kes jenayah SRC International terhadap Najib Razak.


“Semua orang tahu hakim perbicaraan, Nazlan Ghazali sepatutnya menarik diri daripada mendengar kes itu kerana wujud berat sebelah dan konflik kepentingan serius,” katanya.

Beliau berkata, kini “umum mengetahui” bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengeluarkan laporan mengesahkan konflik kepentingan di pihak Nazlan.

“Laporan itu telah diserahkan kepada Idrus tiga bulan lalu. Isi kandungannya yang kemudian dibocorkan di internet, tidak pernah dinafikan oleh AG atau SPRM.

“Tambahan pula, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, mengesahkan minggu lalu bahawa siasatan terhadap isu itu telah diselesaikan, dan laporan akhir telah diserahkan kepada AG,” katanya.

“Namun begitu, AG hanya berdiam diri berhubung perkara itu.”

Peguam itu berkata, berkemungkinan besar “tingkah laku tidak berhemat Thomas”, dan “kegagalan Idrus untuk bertindak” telah mengakibatkan Najib Razak “gagal mendapat perbicaraan adil mengikut Perlembagaan, seterusnya disabitkan secara salah dan kini meringkuk di penjara”.


“Malangnya, disebabkan kegagalan sistem keadilan kita, bererti beban untuk menangani isu ini terletak pada Yang di-Pertuan Agong dengan memohon pengampunan diraja,” katanya.

Zaid turut menuding ke arah “persepsi negatif” dibangkitkan orang awam susulan tindakan Idrus yang menarik balik tuduhan terhadap Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahman tanpa sebarang
sebab diberikan.

“Ini jelas menunjukkan keadaan yang menyedihkan dalam sistem keadilan kita,” katanya.

“Kita tidak boleh membiarkan sistem keadilan ‘dirampas’ mana-mana parti untuk digunakan sebagai alat politik.

“Pelaksanaan moratorium singkat sehingga pelantikan AG seterusnya bagi kes jenayah melibatkan ahli politik pasti akan berkesan dalam meredakan sebarang ketegangan sebagai persediaan menghadapi pilihan raya kelak.” – FMT


ARTIKEL BERKAITAN:

Join our Telegram Channel
Telegram