Bila Peguam Negara baharu akan dilantik? – Puad



KUALA LUMPUR – Pengguguran kes Tan Sri Shahrir Samad bukti terlalu banyak kezaliman dilakukan oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zakarshi berkata, kes dakwaan rasuah yang dihadapi Shahrir berlangsung hampir tiga tahun dan ia merupakan kezaliman yang tidak boleh dibayar.

Disebabkan itu, reformasi institusi perundangan mesti disegerakan.


“Bila agaknya Peguam Negara baru akan dilantik,” tanya beliau yang mempersoalkan apakah Peguam Negara sekarang berkompromi dengan kepincangan yang berlaku dalam kes Shahrir.

”Apakah AG (Peguam Negara) sekarang mahu lepas tangan sehingga kontraknya tamat?

”Kalau begitu lebih baik cuti awal sebelum kontrak tamat. Keadilan tidak boleh ditangguh,” tegasnya.


Minggu lalu, Mahkamah Tinggi di sini melepas dan membebaskan Shahrir bagi pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta diterima daripada Datuk Seri Najib Razak melalui sekeping cek kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jalil Hussin membuat keputusan itu mengikut peruntukan Seksyen 254 (3) Kanun Tatacara Jenayah hari ini selepas mendengar permohonan pihak pendakwaan dan pembelaan bekas Pengerusi Felda itu. – MG




Join our Telegram Channel
Telegram