Pas pertimbang syarat UMNO, tinggalkan Bersatu-PN, keputusan muktamad sebelum hujung minggu ini



PETALING JAYA: Pas sedang mempertimbang syarat-syarat dikemukakan UMNO dan akan membuat keputusan sama ada terus bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Perikatan Nasional (PN) atau sebaliknya sebelum mengharungi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ini setelah UMNO meletakkan tiga syarat kepada Pas jika ingin kembali menjalin kerjasama politik menerusi gabungan Muafakat Nasional (MN) iaitu Pas perlu keluar daripada PN, memutuskan hubungan politik dengan Ber­satu dan mengumumkan secara rasmi bahawa mereka ‘mufarakah’ 100 peratus daripada PN dan Bersatu.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, di sebalik syarat tersebut, partinya menghargai pendirian Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menzahirkan keterbukaan kedua-dua parti itu dalam usaha memulihkan agenda penyatuan ummah berikutan pertemuan dengan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada 17 September lalu.


“Pas mengulangi komitmen untuk bersama dalam segala usaha ke arah mencapai hasrat penyatuan ummah terutama dalam kalangan rakyat berbangsa Melayu dan beragama Islam berteraskan Ayat 10 Surah al-Hujurat yang menekankan soal ‘perdamaian’ antara orang-orang Islam yang bertelagah dalam sesuatu urusan mereka.

“Dalam hal ini, Pas turut menekankan soal penyelesaian sesuatu perkara perlu dirujuk kepada sumber agama Islam iaitu al-Quran dan al-Hadith sebagaimana dalam ayat 59 Surat An-Nisa’. Sesungguhnya perkara itu juga terkandung secara jelas dan tersurat di dalam Piagam Muafakat Nasional yang telah dimeterai pada 14 September 2019,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, Pas tetap mengharapkan suatu jalinan penyatuan ummah yang sejati dapat direalisasikan antara parti-parti utama Melayu Islam di negara ini.


“Dengan mengambil roh dan semangat persaudaraan Islam seperti yang ditunjukkan dalam sirah iaitu antara Aus dengan Khazraj dan Muhajirin dengan Ansar yang akhirnya membawa kepada kekuatan dan kegemilangan pemerintahan berteraskan Islam.

“Pas dengan ini mengambil sikap mengkaji secara mendalam keterbukaan UMNO dalam hal ini danmembuat keputusan muktamad sebelum hujung minggu ini dengan mengambil kira aspek maslahah yang lebih besar serta mudarat (risiko) yang paling ringan,” katanya. – Utusan



Join our Telegram Channel
Telegram