Umno akan anjur perhimpunan raksasa jika PAS keluar PN



KUALA LUMPUR: Umno akan menganjurkan perhimpunan raksasa bersama PAS sekiranya parti Islam itu memutuskan hubungan Perikatan Nasional (PN).

Memetik sumber, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan perkara tersebut dalam perjumpaan khas dengan semua ketua bahagian termasuk sayap Pemuda, Wanita dan Puteri di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, hari ini.

“Perhimpunan raksasa Muafakat Nasional 2.0 akan diadakan di WTC sekiranya PAS mengikuti tiga syarat yang ditetapkan oleh presiden sebelum PM (perdana menteri) umum tarikh pilihan raya,” katanya kepada FMT.


Tiga syarat yang ditetapkan adalah PAS keluar daripada PN, memutuskan hubungan politik dengan Bersatu dan mengumumkan secara rasmi bahawa mereka “mufarakah” (berpisah) 100% daripada PN dan Bersatu.

Pada 3 Okt lalu, PAS mengingatkan Umno supaya tidak meletakkan syarat seperti ‘Puteri Gunung Ledang’ sekiranya ingin bekerjasama dengan parti Islam itu.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata sekiranya Umno meleletakkan syarat berat itu, ia tidak akan memenuhi hasrat yang sama iaitu untuk bekerjasama.


Sementara itu bagi menghadapi PRU15, sumber memaklumkan Zahid mengingatkan semua ketua bahagian untuk memperkukuhkan parti.

“Hentikan segala pertelingkahan dalam Umno. selepas ini perlu fokus serangan pada pembangkang,” katanya.

Kata sumber lagi, turut dimaklumkan Perhimpunan Agung Umno hujung tahun ini juga akan ditangguhkan. – FMT







Join our Telegram Channel
Telegram