Pegawai JAWI doa tambah isteri dalam majlis rasmi



KUALA LUMPUR - Tular di media sosial tindakan seorang pegawai Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) yang berseloroh ketika membaca doa dalam satu majlis tertutup anjuran jabatan berkenaan.

Video berdurasi 44 saat yang tular di Twitter pada Sabtu, memaparkan seorang lelaki berdoa memohon diberikan rezeki yang mencurah bagi melayari bahtera kehidupan dan membolehkan menambah isteri lebih daripada seorang.

Dalam video sama, pegawai berkenaan dalam doanya turut mendakwa yang paling ramai berpoligami adalah dalam kalangan kakitangan Jawi.


Video tular itu mendapat reaksi kurang senang dalam kalangan pengguna media sosial yang mempersoalkan kewajaran doa tersebut.

"Buat malu je, doa dijadikan lawak di majlis formal. Nak tambah isteri, doa sendirilah pak cik," kata pemilik akaun Twitter, Danial Hakimi.

"Tak ada lain, otak ingat nak berbini saja," komen ditinggalkan Airie Johan.

"Pak cik ni sebenarnya niat mahu tambah isteri tapi takut mahu beritahu isteri jadi dia harap kalau ramai aminkan doa maka isteri jadi lembut hati. Ternganga dengar doa dia," kata pemilik akaun Twitter, notcrybaby.


Sementara itu Pengarah Jawi, Datuk Mohd Ajib Ismail ketika diminta mengulas berhubung isu tersebut berkata, pihaknya maklum mengenai video tular bacaan doa di salah sebuah program tertutup anjuran jabatan baru-baru ini.

Menurutnya, siasatan mendapati bacaan doa tersebut adalah di luar daripada teks doa yang telah ditetapkan pihak penganjur.

"Justeru tindakan nasihat dan teguran telah diberikan terhadap pegawai berkenaan yang merupakan Ketua Imam di salah sebuah masjid di Wilayah Persekutuan agar mematuhi garis panduan dan teks doa yang ditentukan oleh pihak Jawi pada masa akan datang," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata, Jawi amat mengambil berat terhadap profesionalisme pegawai dalam melaksanakan tugasan agar imej institusi Islam sentiasa terpelihara. – Sinar



Please subscribe



Join our Telegram Channel
Telegram