Pegawai MB Selangor ditahan kerana ciapan konvoi YDP Melaka



PETALING JAYA: Seorang pegawai khas kepada Menteri Besar Selangor Amirudin Shari ditahan polis dipercayai untuk membantu siasatan berhubung ciapannya mengenai konvoi Yang Dipertua Negeri Melaka Mohd Ali Mohd Rustam di Twitter, bulan lalu.
Ads by 

Menerusi Twitter, Jay Jay Denis memberitahu tiga pegawai polis dari Alor Gajah menahannya hari ini dan dibawa ke Melaka susulan laporan dibuat terhadapnya.

Beliau berkata laporan polis itu dipercayai mempunyai kaitan dengan hantarannya di media sosial pada 6 Sept lepas, video dikongsinya menunjukkan konvoi Ali meninggalkan sebuah restoran di Medan Damansara, Kuala Lumpur.


Dalam tulisan di Twitter, Jay Jay mendakwa beliau melihat konvoi Ali yang terdiri daripada lapan anggota polis pengiring dan tiga kenderaan telah menghalang lalu lintas di Lebuhraya Sprint sebelum melakukan pusingan u.

Dakwa Dennis, video itu diambil selepas Ali makan malam bersama keluarganya bukannya menghadiri majlis rasmi negeri.

Peguam Ambiga Sreenevasan memberitahu FMT Jay Jay dibebaskan sekitar 11.25 malam selepas keterangannya diambil oleh polis Alor Gajah manakala telefon bimbitnya dirampas.

Katanya, anak guamnya itu ditahan mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Multimedia dan Komunikasi.


Ambiga berkata, beliau kini sedang dalam perjalanan pulang ke Petaling Jaya dari Melaka bersama anak guamnya. – FMT

 

Join our Telegram Channel
Telegram