#PRU15: PH Pulau Pinang cenderung pilihan raya serentak



KUALA LUMPUR – Cadangan untuk membubarkan kerajaan Pulau Pinang bagi pelaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sekali gus serentak dengan kerajaan persekutuan akan dibincangkan menerusi mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) hari ini.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, ia susulan DAP Pulau Pinang memohon supaya keputusan pembubaran kerajaan Pulau Pinang dikaji semula selepas mengambil kira pelbagai perkara termasuk permintaan rakyat negeri itu.

“Justeru, mesyuarat jawatankuasa tertinggi pusat telah berbincang dan berbahas panjang lebar. Perkara ini akan dibawa ke Majlis Presiden PH petang esok (hari ini) dan segala keputusan akan diputuskan selepas mesyuarat tersebut.


“Ada banyak alasan (pembubaran) dan sebab paling kuat adalah reaksi orang ramai terutama di Pulau Pinang yang lebih cenderung untuk pilihan raya diadakan serentak kerana mereka tidak mahu keluar (mengundi) dua kali.

“Itu pandangan rakyat Pulau Pinang dan disiarkan meluas melalui media. Faktor itu diambil kira kerana pilihan raya bukan berkenaan parti politik, tetapi pengundi (rakyat) kerana mereka yang buat keputusan,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat DAP di sini malam tadi.

Dalam masa sama, beliau menjelaskan, keadaan di Pulau Pinang tidak sama dengan negeri lain seperti Selangor dan Negeri Sembilan.

“Setiap negeri ada keadaan yang berbeza. Misalnya, Selangor dan Negeri Sembilan umpamanya ada juga pandangan mereka dan kita perlu ambil kira.


“Apa pun perkara ini kita hanya akan dibincangkan secara muktamad esok (hari ini) selepas mesyuarat Majlis Presiden PH,” ujarnya.

Ditanya mengenai calon PRU-15 daripada parti itu, Anthony berkata, Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP telah memberi mandat penuh kepada lima orang bagi memutuskan perkara tersebut.

“Tempoh diberikan sehingga 17 Oktober bagi setiap jawatankuasa negeri memberi cadangan nama dan selepas itu, jawatankuasa bersidang bagi mempertimbangkan cadangan daripada jawatankuasa negeri masing-masing.

“Kita harap segala proses keputusan pencalonan dapat diselesaikan hujung minggu sebelum Deepavali supaya kita dapat umum calon lebih awal sebelum penamaan calon,” katanya. – Kosmo

 

Join our Telegram Channel
Telegram